Info SemasaKenyataan Media

MAJLIS KESELAMATAN PBB PERLU ADIL

ISTANBUL: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menegaskan Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu mengambil kira prinsip keadilan ketika melakukan sebarang keputusan.

Katanya, hal demikian kerana keputusan dibuat tanpa mempertimbangkan prinsip itu hanya akan menjejaskan kepercayaan terhadap badan global berkenaan.

Sambil menegaskan PBB tidak menggambarkan perwakilan global secara betul, Recep Tayyip dalam temubual bersama majalah Kriter menyifatkan perkara itu adalah tidak adil memandangkan badan berkenaan ditubuhkan dengan lima anggota Majlis Keselamatan sebagai terasnya pada akhir Perang Dunia Kedua.            

“Kita kini mempunyai dunia yang amat berbeza. Ya, China dan Rusia berada dalam Majlis Keselamatan tetapi itu tidak menjadikannya lebih adil dari segi perwakilan.

“Jadi, kita harus menyelesaikan krisis perwakilan dan kesahihan serta menjadikan PBB sebagai organisasi yang lebih telus dan bertanggungjawab atas tindakannya di hadapan masyarakat antarabangsa,” katanya.

Presiden itu berkata demikian dengan menegaskan Majlis Keselamatan PBB gagal mengangkat suara kira-kira 1.5 bilion umat Islam di seluruh dunia.

Mengulas lanjut, Recep Tayyip berkata, Majlis Keselamatan PBB yang tidak memiliki kepelbagaian budaya dan gagal merangkumi peradaban berbeza, tidak dapat menjamin keamanan.          

“Kita sudah meninggalkan nasib dunia kepada lima negara itu. 

“Mereka yang ribuan kilometer jauh mempunyai hak untuk membuat keputusan mengenai krisis berlaku di sekitar kita kerana mempunyai kerusi di Majlis Keselamatan,” katanya sambil menambah pihak terbabit hanya mengambil kira kepentingan negara mereka sendiri.

Menurut pemimpin itu, kini terdapat lingkaran kuasa yang berbeza malah lebih banyak negara mula menyuarakan bantahan mengenai status-quo Majlis Keselamatan PBB.

“Eropah diwakili oleh dua negara namun Amerika Selatan dan Afrika tidak diwakili sedangkan populasi Eropah hanya merangkumi kira-kira lima peratus daripada jumlah penduduk dunia.

“Jadi, lima anggota tetap itu hanya membentuk satu perempat populasi global dan selebihnya tidak diwakili sama sekali,” katanya.

Tambah beliau, PBB kini berdepan krisis kesahihan kritikal kerana gagal menjamin keselamatan atau kestabilan sehingga menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap badan global itu.     

Sebelum ini, Recep Tayyip sering menekankan mengenai keperluan untuk melakukan pembaharuan dalam PBB dengan slogan `dunia lebih besar daripada lima negara’.

Beliau baru-baru ini menulis sebuah buku berjudul A Fairer World is Possible dan menyampaikannya kepada para pemimpin dunia di mesyuarat Perhimpunan Agung PBB (UNGA) yang diadakan di New York bulan lalu. 

Sumber: Utusan