LELAKI PALESTIN WARGA AS DITEMUI MATI SELEPAS DITAHAN TENTERA ISRAEL
JILJILYA: Seorang lelaki Palestin warga Amerika Syarikat (AS) berusia 80 tahun ditemui mati selepas ditahan dan digari semasa serbuan Israel di sebuah kampung di Tebing Barat.
Perkara itu disahkan dinyatakan beberapa saksi, pegawai dan saudara mara mangsa di Palestin semalam.
Jabatan Negara AS berkata mangsa yang dikenali sebagai Omar Abdalmajeed As’ad adalah warganegaranya dan meminta penjelasan daripada Israel mengenai tragedi itu.
Mayat mangsa ditemui di Jiljilya pada awal pagi dengan pengikat zip plastik masih terikat pada salah satu pergelangan tangannya.
Tentera Israel berkata mereka menjalankan operasi semalaman di kampung itu dan seorang warga Palestin ‘diberkas selepas membantah pemeriksaan yang dilakukan’.
Tentera mendakwa mangsa masih hidup ketika mereka membebaskannya.
“Bahagian Siasatan Jenayah Polis Tentera sedang menyiasat semula kes ini, yang mana hasilnya akan dibentangkan kepada Kor Peguambela Jeneral Tentera,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut abang mangsa, As’ad adalah bekas penduduk Milwaukee, Wisconsin, yang tinggal di AS selama beberapa dekad dan kembali ke Tebing Barat 10 tahun lalu,
Jurucakap Jabatan Negara AS, Ned Price, memberitahu wartawan bahawa pihak kerajaan AS menyokong siasatan menyeluruh terhadap kes itu.
Beliau berkata, Jabatan Negara AS merakamkan ucapan takziah kepada keluarga itu dan menawarkan bantuan.
Keluarga As’ad menangguhkan pengebumian sehingga hari ini bagi membolehkan bedah siasat dilaksanakan.
Seorang doktor tempatan, Islam Abu Zaher, berkata beliau cuba menyelamatkan As’ad, namun ketika ditemui, sudah tiada denyutan nadi dan tiada tanda-tanda kecederaan yang jelas bagi menunjukkan punca kematiannya.
“Ada kemungkinan dia mengalami serangan jantung atau panikketika pemeriksaan dilakukan.
“Kita perlu melakukan bedah siasat,” kata Abu Zaher kepada Reuters, sambil menyatakan bahawa As’ad sebelum ini pernah menjalani pembedahan jantung dan rawatan kardiologi.
Ketua majlis kampung Jiljilya, Fouad Qattoum, berkata ketika kejadian, As’ad baru pulang ke rumah selepas melawat saudaranya apabila tentera Israel memberhentikan keretanya, mengikatnya, menutup matanya sebelum dibawa ke sebuah bangunan yang masih dalam pembinaan.
Seorang lagi penduduk kampung berkata dia melihat tentera Israel berjalan sambil membawa bersama As’ad sekitar jam 3 pagi.
Mayat As’ad ditemui lebih sejam kemudian, menurut penjual sayur Mamdouh Elaboud, yang turut ditahan selama 20 minit, sebelum dibebaskan.
“Selepas tentera pergi, kami melihat seseorang terbaring terlentang di tanah dan apabila kami mengalihkan badannya, kami mendapati seorang lelaki warga emas yang tidak menunjukkan tanda masih hidup.
Dalam catatan Facebook, Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh, menyalahkan tentera Israel atas kematian lelaki itu dan menganggapnya sebagai jenayah.
Jurucakap tentera Israel, Leftenan Kolonel Amnon Shefler, berkata tentera akan menyiasat tragedi ini secara menyeluruh lagi profesional dan bertindak selaras dengan nilai serta protokol mereka.
Sumber: BH