2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
aaf1ed7d-1ecd-4d8a-bf33-01f1a3e0b32c.jpg
Info Semasa

Korban gempa bumi di Afghanistan cecah 1,000

KABUL: Angka kematian akibat gempa bumi berukuran 6.1 pada skala Richter di timur Afghanistan mencecah 1,000 orang, menurut seorang pegawai tempatan di wilayah Paktika, antara kawasan paling teruk terjejas.

“1,000 maut, 1,500 cedera, dan jumlah ini mungkin meningkat, ramai ahli keluarga hilang. Mereka yang cedera dibawa ke Kabul dan Gardez,” Mohammad Amin Hozaifa, pengarah maklumat dan budaya Paktika memberitahu Reuters.

Secara rasmi, pegawai pengurusan bencana masih meletakkan jumlah yang cedera pada 600 orang.

Media Afghanistan memaparkan rakaman runtuhan kediaman dengan mayat bergelimpangan di atas tanah.

Helikopter dikerahkan dalam usaha menyelamat mangsa cedera selain terbang membawa bekalan perubatan dan makanan, kata seorang pegawai Kementerian Dalam Negeri, Salahuddin Ayubi.

“Jumlah kematian mungkin meningkat kerana beberapa kampung berada di kawasan terpencil di pergunungan dan ia akan mengambil sedikit masa untuk mengumpul butiran,” katanya.

Gempa itu disifatkan paling dahsyat sejak 2002. Ia melanda kira-kira 44 kilometer (km) dari tenggara bandar Khost, berhampiran sempadan dengan Pakistan, kata Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGC).

Kebanyakan kematian yang disahkan adalah di daerah Barmal, Ziruk, Naka dan Gayan di wilayah Paktika, daerah paling terjejas di wilayah timur yang mana 255 orang terbunuh dan lebih 200 cedera, tambah Ayubi. Di wilayah Khost, 25 maut dan 90 telah dibawa ke hospital.

Haibatullah Akhundzada, pemimpin tertinggi Taliban yang memerintah, mengucapkan takziah dalam satu kenyataan.

Ketua Pihak Berkuasa Pengurusan dan Pentadbiran Bencana Taliban, Mohammad Nassim Haqqani, berkata majoriti kematian yang disahkan membabitkan penduduk wilayah Paktika.

Katanya, kematian juga dilaporkan di wilayah timur Nangarhar dan Khost, sambil beliau memaklumkan pihak berkuasa masih berusaha mendapatkan jumlah korban sebenar bencana itu.

Pemantau Geologikal Amerika Syarikat (USGS) melaporkan, gempa bumi itu menggegarkan sebahagian kawasan berpenduduk padat di Afghanistan dan Pakistan awal pagi tadi.

Pusat gempa ialah kira-kira 44km dari bandar Khost di tenggara Afghanistan pada kedalaman 51km, menurut laporan USGS.

Gegaran terasa sehingga kawasan sejauh 500km membabitkan sekitar 119 juta penduduk di Pakistan, Afghanistan dan India, kata Pusat Seismologikal Mediterranean Eropah (EMSC) menerusi ciapan Twitter.

Gegaran turut dirasai di ibu negara Afghanistan, Kabul selain ibu negara Pakistan, Islamabad, menurut pengguna Twitter dan maklum balas saksi di laman sesawang EMSC.

Ia merosakkan puluhan rumah dan menyebabkan kejadian tanah runtuh di Paktika, menurut sumber tempatan.

Sementara itu, EMSC turut melaporkan bahawa gempa bumi berukuran 6.5 pada skala Richter turut melanda selatan Iran. Pergunungan Afghanistan dan wilayah lebih besar di Asia Selatan di sepanjang pergunungan Hindu Kush, yang mana plat tektonik India bertembung dengan plat Eurasia di utara, telah lama terdedah kepada gempa bumi dahsyat.

Pada 2015, gempa melanda timur laut negara itu mengorbankan lebih 200 orang di Afghanistan dan utara Pakistan. Gempa bumi berukuran 6.1 skala Richter serupa pada 2002 mengorbankan kira-kira 1,000 nyawa di utara Afghanistan.

Pada 1998, gempa bumi 6.1 magnitud dan gegaran berikutnya di timur laut terpencil Afghanistan mengorbankan sekurang-kurangnya 4,500 orang.

Sumber: BH