2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

Kenyataan Media 26 Jun 2018

 

26 Jun 2018 | Kementerian Pertahanan Bakal Lawat Kem Pelarian Rohingya di Cox’s Bazar, Bukti Keprihatinan Kerajaan Malaysia

Sejak Ramadhan lepas, pelarian Rohingya terkesan dengan ancaman monsun dan kini kebanyakan mereka tiada tempat berteduh yang selamat untuk diduduki disamping kekurangan bekalan makanaan asas. Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (SERANTAU MUSLIM) melahirkan rasa simpati terhadap nasib mereka yang begitu sukar ketika ini.

Laporan media 24 Jun menyatakan Kementerian Pertahanan akan melawat kem pelarian Rohingya di Cox’s Bazar, Bangladesh awal Julai depan. Menurut Menteri Pertahanan Malaysia, Mohamad Sabu, pihaknya akan membawa kemudahan logistik termasuk bantuan perubatan, khemah, serta bahan makanan dengan menggunakan pesawat tentera yang berkapasiti kargo yang luas dan boleh memuatkan pelbagai bantuan yang ingin disalurkan kepada kem pelarian Rohingya tersebut.

Menurut laporan cuaca di Cox’s Bazaar pula, keadaan cuaca di sana masih tidak menentu dan sehingga hari ini hujan lebat dan ribut petir masih berterusan. Didoakan pelarian Rohingya berada dalam keadaan selamat. SERANTAU MUSLIM melihat usaha murni pihak Kementerian Pertahanan sangat wajar dilakukan bagi menyantuni dan membantu pelarian Rohingya agar mereka dapat meneruskan
kehidupan seharian mereka seadanya. Ini merupakan tanda keprihatinan kerajaan terhadap mereka yang memerlukan.

Dalam masa yang sama SERANTAU MUSLIM berharap agar orang ramai boleh bersama-sama kerajaan untuk menyalurkan bantuan yang diperlukan pelarian Rohingya di Cox’s Bazaar.

Pada kesempatan ini juga, SERANTAU MUSLIM tidak ketinggalan untuk mengajak orang ramai bersama-sama membantu saudara Islam kita di sana melalui kempen khas buat etnik Rohingya di www.untukmurohingya.com dan diharapkan mereka dapat melalui ujian dunia ini dengan tabah.

Akhir kata, SERANTAU MUSLIM menyeru semua umat Islam agar sentiasa bersatu padu agar keselamatan umat Islam di seluruh dunia terpelihara.

“Persaudaraan Rentas Sempadan”.

Ustaz Mohd Hakim bin Mohd Nor Pengurus Besar Pertubuhan Kebajikan SERANTAU MUSLIM