2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Kenyataan Media

Kenyataan Media 13 April 2018

13 April 2018

Kenapa Kamu Pentingkan Etnik Rohingya Seolah-olah ‘Kera Di Hutan Disusukan, Anak Dipangkuan Mati Kelaparan’?
Oleh Dr. Muhammad Azrin Omar

Kenapa kamu pentingkan etnik Rohingya seolah-olah ‘kera di hutan disusukan, anak dipangkuan mati kelaparan’? Inilah kata-kata sinis yang sering singgah ditelinga saya kerana bagi khalayak, saya terlalu menjaga kebajikan umat Islam minoriti di Myanmar berbanding di tanah air sendiri.

Sejujurnya, jika saya manusia yang normal, saya hanya akan memandang enteng tentang isu kemanusiaan dan tidak akan membantu Islam minoriti di Myanmar. Tetapi saya ingin menjadi seorang yang ‘extraordinary’ dan ingin mencabar kelaziman manusia normal. Namun pada masa yang sama, saya akan memastikan ia menurut syariat dalam agama. Berteraskan hadis riwayat daripada Abdullah bin Umar r.a., Nabi Muhammad S.A.W bersabda yang bermaksud ‘seorang muslim adalah saudara kepada seorang muslim yang lain, ia tidak menzaliminya dan tidak menghinanya’. Oleh hal yang demikian saya terpanggil untuk turut menjaga kebajikan saudara se-Islam di Myanmar dan bukannya membiarkan mereka dalam kesusahan.

Saya tidak sanggup lagi untuk melihat kezaliman demi kezaliman, penyeksaan demi penyeksaan berlaku yang sering dipaparkan media bertanggungjawab. Suatu ketika, isu ini hangat di perkatakan rentetan penduduk minoriti Islam Rohingya ditangkap, dibunuh, wanita pula menjadi mangsa pemuas nafsu manusia bertopengan binatang, dan masjid dimusnahkan sesuka hati pihak oleh tentera Myanmar.

Jika saya melihat kembali enam tahun yang kebelakang, saya sangat sedih dengan konflik yang berlaku yang mana melibatkan penduduk Islam Rohingya di Rakhine. Persengketaan antara penganut Buddha dan penduduk Islam telah mengakibatkan lebih 1,000 orang dari etnik Rohingya terkorban kerana dibunuh puak Rakhine, 3.000 hingga 4,000 orang cedera, 10,000 orang hilang dan 115,000 orang lagi hidup melarat di khemah penempatan sementara. Lebih dasyat lagi ketika itu, saya dipaparkan dengan rakaman jeritan suara kanak-kanak dan wanita yang dibakar hidup-hidup pada Oktober 2016. Ia sangat meruntun jiwa.

Pada masa itu, saya melihat hak asasi etnik minoriti itu terjejas teruk. Mereka tidak mendapat keperluan asas yang cukup. Makanan, minuman, pakaian, pendidikan, pekerjaan dan kesihatan mereka tiada siapa yang peduli walaupun mereka sangat memerlukannya demi kelangsungan hidup.

Oleh sebab itu, saya terpanggil untuk menjaga kebajikan mereka sehingga hari ini. Walaupun kini, media banyak menyatakan mungkin ada sinar baru buat etnik minoriti ini untuk kembali ke negara asal mereka. Misalnya kenyataan media tempatan yang melaporkan ‘Menteri Myanmar telah membuat lawatan ke kem pelarian Rohingya di Bangladesh, sambil berharap kunjungan itu dapat mempercepatkan kepulangan ratusan ribu minoriti dari negara jiran itu’.

Walau bagaimanapun, saya masih meragui dengan tindakan Myanmar untuk membawa pulang hampir 700,000 etnik Islam Rohingya yang berada di Bangladesh sejak Ogos 2016 kerana rata-rata mereka masih takut untuk berada di tempat asal mereka akibat kekejaman tentera di Myanmar dan mungkin mereka masih trauma dengan kehilangan ahli keluarga tersayang.

Saya turut meragui Myanmar kerana kenyataan dari Pihak Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCHR) masih belum positif kerana situasi di Rakhine belum menyebelahi etnik Rohingya untuk dihantar pulang kerana mereka masih meminta perlindungan dan keselamatan di Bangladesh.

Saya juga bimbang akan nasib etnik Rohingya kerana baru-baru ini saya melihat kenyataan kumpulan hak asasi manusia yang menyatakan bahawa majoriti penduduk di Rakhine berada dalam kelaparan, ketakutan, tidak boleh bebas bekerja dan diganggu jiran bermusuh sekitar mereka.

Oleh sebab itulah, sehingga kini saya bersama rakan seperjuangan yang lain sedaya upaya membantu memenuhi tuntutan kebajikan etnik Rohinyga ini. Berkenaan isu membawa pulang tersebut, mungkin suatu hari nanti saya hanya akan yakin bilamana Myanmar dapat membuktikan kepada global bahawa tempat asal minoriti Islam itu memang telah tersedia untuk membawa mereka pulang dan tiada lagi ancaman nyawa buat mereka di sana. Saya juga berharap Myanmar akan membuat satu surat aku janji agar tidak sewenang-wenangnya mengusir, membunuh dan menafikan hak asasi manusia minoriti Islam di sana.

Akhir kalam, saya akan terus menjaga kebajikan etnik Rohingya sehingga ke akhir nafas ini selagi ia merupakan tindakan yang benar buatku dan bukannya dilarang oleh syariat Islam. Saya suka mengingatkan diri dan semua untuk menghayati bait-bait hadis riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud ‘siapa yang membantu hajat saudaranya, maka Allah akan sentiasa menolong dalam hajatnya’.

Ayuhlah kita bersama-sama membantu mereka kerana “Persaudaraan Rentas Sempadan”

Penulis adalah Timbalan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim