2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
ADVOKASIKenyataan Media

KENYATAAN MEDIA 09 MAC 2019

SERANTAU MUSLIM RAIKAN ANAK YATIM DAN ASNAF SEKITAR TELOK MAS, MELAKA SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PEJABAT OPERASI BERSAMA YAB TUAN ADLY, KETUA MENTERI MELAKA

Oleh Wartawan Serantau Muslim

Melaka, 10 Mac 2019 – Serantau Muslim (SM) telah melakar sejarah kerana telah berjaya mempunyai pejabat operasi yang baharu yang terletak di Telok Mas, Melaka. Majlis Perasmian Operasi Pejabat tersebut telah dihadiri YAB Tuan Adly bin Zahari, Ketua Menteri Melaka dan turut meraikan seramai 38 orang pelajar dari Pertubuhan Madrasah Al-Muqarrabin, 10 orang pelajar dari Pertubuhan Darul Aitam Anak Yatim, 54 orang pelajar dari Madrasah Tahfiz Al-Quran wal Qiraat dan 20 orang golongan asnaf di kawasan setempat.

Majlis yang diadakan di hadapan pejabat operasi baharu SM itu juga turut dihadiri Dr Raja Ahmad Iskandar bin Raja Yaacob, Pengerusi SM; Dr Muhamad Azrin bin Omar, Timbalan Pengerusi SM; dan Ustaz Mohd Hakim Mohd Nor, Pengurus Besar SM serta beberapa lagi ahli jawatankuasa SM. Majlis itu juga telah dihadiri oleh wakil-wakil NGO setempat dan ahli korporat yang lain.

Dalam majlis yang turut melancarkan dua projek di bawah kelolaan SM iaitu Kembara Prihatin dan Sahabat SM, SM mendapat perhatian pihak Ketua Menteri Melaka, Tuan Adly melalui sokongannya dan kerajaan negeri terhadap usaha yang dilakukan SM. YAB Ketua Menteri menyokong segala usaha SM kerana SM berjaya melalui jaringan di peringkat antarabangsa terutamanya isu yang membabitkan kebajikan komuniti masyarakat Islam termasuk di Palestin dan Syria.

Dalam perkembangan lain, YAB Tuan Adly berkata program Kembara Prihatin akan digunakan bagi menjejaki golongan asnaf di kesemua 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dan program tersebut akan berjalan setiap minggu dengan kerjasama Majlis Agama Islam Melaka dan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan DUN (Japerun) bagi mendapatkan maklumat mengenai golongan sasar.

“Sementara itu, program Sahabat SM pula bertujuan bagi mempromosikan aktiviti kesukarelawan dalam kalangan rakyat sebagai inisiatif membantu golongan yang kurang berkemampuan. Ini adalah satu usaha murni dan perlu disokong oleh semua pihak,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Dr Raja Ahmad Iskandar, Pengerusi SM turut menyatakan dalam ucapan bahawa kini NGO menjadi sesuatu yang penting dalam sesebuah pentadbiran negara sehinggakan ada di sesetengah negara melantik ketua negara mereka dari kalangan aktivis-aktivis NGO kerana mereka ini lebih dekat dengan permasalahan dalam kalangan rakyat.

Manakala Ustaz Mohd Hakim dalam ucapannya ketika majlis tersebut turut mensasarkan SM untuk mencapai visi iaitu menjadi sumber rujukan utama dalam urusan membela muslim minoriti di Asia Tenggara menjelang 2023.

“Kami (SM) juga hasratkan pada tahun ini, kami dapat salurkan bantuan kepada 2 juta orang penerima bantuan dengan sasaran kumpulan dana sebanyak RM 17 juta” tambah beliau.

Dalam majlis yang meraikan mereka yang memerlukan itu, dilihat warga emas dan anak-anak yatim yang hadir cukup gembira dan berterima kasih kepada SM kerana meraikan mereka bersama-sama YAB Ketua Menteri Melaka.

Majlis yang dihadiri seramai 230 orang tetamu itu dilihat berjaya dan usai pada jam 2 petang. SM juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak sepanjang majlis yang diadakan itu.

Dikemaskini jam 3.50 petang