Info Semasa

Kenyataan Media 08 Mei 2018

Kenyataan Media Serantau Muslim
08 Mei 2018 | Pejuang Hamas Terkorban dalam Insiden Letupan di Zawayda, Semenanjung Gaza

Kini, genap 70 tahun konflik antara Israel dan Palestin berlaku. Banyak pertumpahan darah dirakam sepanjang tempoh yang panjang ini. Hari ini, Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (SERANTAU MUSLIM) ingin mengucapkan salam takziah terhadap pejuang Gerakan Pembela Islam (Hamas) yang telah terkorban dalam insiden yang didakwa angkara brutal pihak Israel. SERANTAU MUSLIM melahirkan rasa kesal dengan tindakan sengaja rejim Zionis itu.

Laporan media 7 Mei 2018 melaporkan seramai enam orang pejuang Hamas telah terkorban dalam satu letupan di Gaza. Walau bagaimanapun, tentera Israel menafikan pembabitan mereka dalam insiden berdarah itu. Angka maut rakyat Palestin di Gaza semakin meningkat sejak Mac lalu. Seramai 43 rakyat Palestin yang ditembak Israel, manakala 1,143 orang cedera dan 83 orang lagi terkena peluru hidup sejak mereka memulakan bantahan ‘Kepulangan Besar-besaran Mac’.

Sejak awal Mac yang lalu, SERANTAU MUSLIM melihat serangan demi serangan dilancarkan tentera Israel bagi cubaan membunuh pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh, Perdana Menteri Pihak Berkuasa Palestin, Rami Hamdallah dan Ketua Operasi Hamas, Tawfik Abu Naim. Namun tidak berjaya kerana kawalan keselamatan Hamas telah ditingkatkan.

Pada masa yang sama, Zionis berdepan dengan kritikan antarabangsa kerana menggunakan peluru hidup dalam bantahan yang diadakan rakyat Palestin.

SERANTAU MUSLIM sangat terkilan dengan tindakan kejam pihak Zionis terhadap pihak lawannya kerana Israel telah menggunakan senjata berpeluru seolah-olah mereka turut dibalas dengan senjata yang sama, padahal tiada rakyat Israel terkorban dalam serangan tersebut.

SERANTAU MUSLIM merasakan rejim Zionis gentar dengan semangat juang yang tinggi dalam kalangan penduduk Palestin dan pejuang Hamas demi mendapatkan hak tanah air mereka walaupun penduduk Palestin tidak menggunakan senjata yang berbahaya seperti digunakan rejim itu.

SERANTAU MUSLIM percaya penduduk Palestin tidak takut melawan rejim Zionis kerana mereka berpegang pada prinsip ‘berani kerana benar’ untuk mendapatkan hak tanah mereka kembali. Didoakan mereka terus kuat dan sabar dalam menghadapi musuh-musuh dari luar.

Diharap kenyataan Setiausaha Agung PBB, Antonio Gutteras dan Kesatuan Eropah (EU) yang sebelum ini telah menggesa siasatan bebas terhadap rejim Zionis ke atas kematian penduduk Palestin dapat dilaksanakan secepat mungkin agar dapat meredakan konflik berdarah ini.

Walau apapun, SERANTAU MUSLIM suka mengingatkan bahawa setiap ujian yang datang adalah ketentuan dari Allah SWT. Dalam surah at-Taubah, ayat 51, Allah berfirman:

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sekali-kali tidak akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung kami yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka hanya kepada Allah jualah orang-orang yang beriman harus bertawakal.”

Justeru, SERANTAU MUSLIM mewajibkan semua komuniti global agar membantah tindakan brutal rejim Zionis dengan menyatakan solidariti semua umat Islam dan sentiasa meneruskan aktiviti memboikot barangan Israel melalui kempen BDS (Boycott, Dinvestment, Sanction).

“Persaudaraan Rentas Sempadan”

Ustaz Mohd Hakim bin Mohd Nor
Pengurus Besar
Pertubuhan Kebajikan SERANTAU MUSLIM