2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info Semasa

Kementerian Zionis gesa serang dan bunuh rakyat Palestin

RAMALLAH: Di sebalik gesaan pelbagai pihak supaya keganasan di Tebing Barat dihentikan segera, Kementerian Pertahanan Israel menggesa supaya tindakan tegas dikenakan terhadap rakyat Palestin yang menentang, termasuk memusnahkan rumah mereka.

“Kita perlukan operasi ketenteraan, kita perlu robohkan rumah mereka dan tidak mustahil, kita juga perlu bunuh mana-mana sasaran yang menentang dan mendatangkan bahaya.

“Itulah cara bagaimana kita berdepan dengan keganasan,” kata Menteri Pertahanan Israel dari parti berhaluan kanan, Itamar Ben-Gvir dalam Parlimen kelmarin.

Cadangannya turut mendapat reaksi positif daripada ahli Parlimen lain apabila mereka menyokong agar operasi ketenteraan dilaksanakan di Tebing Barat, lapor Utusan.

Cadangan itu diusulkan selepas penduduk Israel menyerang beberapa pekan di Palestin, selain membakar kenderaan dan bangunan sebagai tindak balas serangan pergerakan Hamas sebelum ini.

Empat penduduk Yahudi terbunuh apabila anggota Hamas melepaskan tembakan berhampiran sebuah restoran di Eli.

Seorang rakyat Palestin, Yaqoub Oweis, tentera dan polis Zionis hanya ‘berdiri sambil menyaksikan’ penduduk Yahudi menyerang rumah mereka.

“Pihak berkuasa Israel hanya membiarkan penduduk Yahudi menyerang kami, kami tiada daya untuk menghalang mereka.

“Kami hanya berbekalkan batu, mereka mempunyai senjata api, apa yang mampu kami lakukan?,” soalnya.

Dalam pada itu, Amerika Syarikat (AS), Mesir, Jordan dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengutuk serangan penduduk Yahudi terhadap rakyat Palestin.

Kesemua negara dan badan antarabangsa itu menggesa supaya penyelesaian dicapai segera bagi mengelakkan konflik semakin teruk.

Dalam insiden buruk ini, ayuh sama-sama kita mengangkat tangan dan berdoa agar puak yang zalim ini mendapat balasan setimpal dan lumpuh dalam segala aspek. Didoakan agar semua rakyat Palestin dan mereka yang teraniaya terus berada dalam rahmat Allah SWT.