Info SemasaKenyataan Media

ISRAEL SERANG PELABUHAN SYRIA

DAMSYIK: Serangan udara tentera Israel mengenai pelabuhan Latakia di Syria hari ini, kejadian kedua di lokasi sama pada awal bulan ini, menurut media kerajaan Syria.

“Awal pagi tadi, musuh Israel melakukan pencerobohan seragan udara dengan beberapa peluru berpandu dari arah Mediterranean.

“Serangan itu menyasarkan kawasan kontena di pelabuhan Latakia,” agensi berita negara Syria SANA memetik sumber tentera.

Serangan itu mengakibatkan kerosakan harta benda yang signifikan sekali gus menyebabkan kebakaran.

Pada 7 Disember lalu, Tentera Udara Israel melakukan serangan dan mengenai pelabuhan Latakia di Syria kira-kira jam 1.23 pagi waktu tempatan.

Namun, katanya, pasukan pertahanan Syria berjaya menangkis serangan tersebut.

Serangan itu menyasarkan kawasan penyimpanan kontena yang menyebabkan sebahagiannya terbakar tetapi tiada kecederaan atau kematian.

Bagaimanapun, anggota-anggota jabatan bomba berjaya memadamkan kebakaran tersebut.

Pada Mei lalu, satu serangan udara Israel ke atas wilayah Latakia telah menyebabkan seorang terbunuh dan enam orang lagi cedera.

Israel menyatakan berulang kali bahawa ia tidak akan membenarkan Syria menjadi tempat bagi musuhnya, Iran untuk bertapak di negara berkenaan.

Sejak perang saudara meletus di Syria pada tahun 2011, rejim Zionis telah melancarkan ratusan serangan udara ke atas negara tersebut dengan menyasarkan kedudukan kerajaan termasuk kumpulan-kumpulan pejuang bersenjata pro-Iran dan Hizbollah.

Sumber: BH