Israel melancarkan serangan ke atas Hizbullah di selatan Lubnan
Israel melancarkan serangan udara bertubi-tubi ke atas sebuah lembah di selatan Lubnan, selepas pengakuan yang jarang sekali dilakukan oleh Israel mengenai operasi pasukan khas di sempadan.
Menurut sumber keselamatan Lubnan yang dinyatakan dalam laporan Berita Harian, terdapat sekurang-kurangnya 16 serangan udara berturut-turut di Lembah Suluki, menggambarkannya sebagai “pengeboman paling banyak di satu lokasi” sejak permusuhan di kawasan sempadan bermula tiga bulan lalu.
Kumpulan Hizbullah yang disokong Iran turut melancarkan tembakan merentasi sempadan selatan Lubnan terhadap tentera Israel bagi menyokong sekutu Palestin, Hamas di Semenanjung Gaza.
Tentera Israel berkata, ia melakukan “serangan udara dan artileri” terhadap penempatan Hizbullah dan infrastruktur senjata di Lembah Suluki yang diselubungi hutan “dalam masa yang singkat”.
Bagaimanapun, sumber keselamatan Lubnan tidak mengesahkan sama ada berjaya mengenai sasaran Hizbullah, tetapi menyatakan kumpulan bersenjata lengkap menggunakan lembah itu untuk melancarkan roket ke Israel.
Hizbullah berkata, ia turut melancarkan roket ke arah tentera Israel merentasi sempadan berbukit.
Sementara itu, radio Israel iaitu Kan hari ini melaporkan serangan yang berlaku disifatkannya sebagai luar biasa oleh tentera udara dan artilerinya ke atas berpuluh-puluh sasaran di Lembah Suluki.
Tentera Israel berkata, pasukan khasnya melakukan serangan di kawasan Ayta al-Shaab di selatan Lubnan “untuk menghapuskan ancaman” dan pesawatnya turut melancarkan peluru berpandu antikereta kebal Hizbullah di rantau itu.
Tentera Israel jarang sekali mengakui operasi oleh pasukan khasnya.
Ia tidak menyatakan di mana secara khusus mereka beroperasi atau jenis ancaman yang dikeluarkan.