2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

ISRA3L DIDAKWA HALANG PROSES PEMBINAAN SEMULA DI GAZA

GAZA: Seorang pegawai kanan Palestin semalam mendakwa Israel menghalang proses pembinaan semula di Semenanjung Gaza yang ditadbir Gerakan Penentangan Islam (Hamas).

Setiausaha Rendah Kementerian Perumahan dan Kerja Awam Hamas, Naji Sarhan, berkata perancangan pembinaan semula bergerak amat perlahan dan menuding jari pada Israel sebagai bertanggungjawab terhadap perkara itu.

“Serangan Israel di Semenanjung Gaza yang didiami lebih dua juta rakyat Palestin, memburukkan krisis kemanusiaan, ekonomi dan sosial, dan menyebabkan kerugian langsung AS$420 juta (RM1.77 bilion).

“Qatar dan Mesir berikrar menyumbang geran kewangan berjumlah AS$500 juta (RM2.11 bilion) setiap satu,” katanya, menambah Jerman menyumbang AS$9 juta (RM37 juta) dan beberapa negara lain menyumbang AS$20 juta (RM84 juta).

Sebelum ini, Palestin mendakwa Israel tidak menunjukkan sebarang komitmen untuk pembinaan semula infrastruktur yang dimusnahkan dalam serangan Israel pada Mei lalu.

Pada 10 Mei lalu, Israel memulakan serangan udara besar-besaran selama 11 hari di Semenanjung Gaza.

Konflik itu meragut lebih 250 nyawa rakyat Palestin dan 13 warga Israel.

Konflik itu berakhir selepas Mesir mengatur perjanjian gencatan senjata antara pejuang Hamas dengan Israel pada 21 Mei.

Menurut angka rasmi, sekitar 1,800 rumah di Semenanjung Gaza musnah, dan 16,800 lagi rosak dalam serangan berkenaan.

November tahun lalu, Naji dilaporkan berkata, Mesir menghantar jurutera, kelengkapan pembinaan dan pekerja bagi membantu membersihkan sisa runtuhan selepas konflik itu, namun Israel cuba menghalang penghantaran bahan mentah ke Gaza.

Beliau mendakwa, tindakan itu bertujuan ‘mendesak Hamas mengurangkan tuntutan untuk mencapai perjanjian damai yang kekal’, namun Israel akhirnya membenarkan penghantaran semua barangan buat kali pertama sejak beberapa tahun akibat desakan pihak antarabangsa.

Sumber: BH