HRW dakwa Meta ‘tutup suara’ pro-Palestin dalam Instagram, Facebook
Human Rights Watch (HRW) mendakwa Meta menyekat kandungan pro-Palestin dalam Facebook serta Instagram, ketika Semenanjung Gaza kini terus dicengkam pertumpahan darah akibat serangan rejim Zionis.
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu sekali gus mengecam tindakan didakwa sebagai ‘penapisan dalam talian secara sistematik’ sejak tercetusnya perang Israel-Hamas, lapor Berita Harian.
Manakala dalam sumber lain yang berpangkalan di New York, dasar dan amalan Meta telah menutup suara menyokong Palestin serta hak asasi rakyat Palestin, dalam Instagram dan Facebook menerusi gelombang penapisan media sosial yang semakin meningkat.
Pemangku Pengarah Bersekutu Bahagian Teknologi dan Hak Asasi Manusia HRW, Deborah Brown, mendakwa tindakan Meta menapis kandungan menyokong Palestin, disifatkan sebagai ‘menambah lagi luka’ tatkala rakyat Palestin kini berdepan kekejaman dan penindasan tidak terkata yang menyekat ekspresi mereka.
Pada Selasa lalu, lembaga pengawasan bebas Meta telah mengkritik gergasi media sosial itu kerana menarik keluar hantaran yang memaparkan penderitaan manusia dalam konflik berkenaan.
HRW mendakwa berlaku ‘penapisan dalam talian secara sistematik’ dengan lebih 1,050 ‘penarikan keluar dan sekatan lain terhadap kandungan’ dalam Instagram serta Facebook dari lebih 60 negara sepanjang tempoh Oktober hingga November lalu.
Kandungan terbabit didakwa dihantar oleh ‘rakyat Palestin dan penyokong mereka, termasuk mengenai pencabulan hak asasi manusia.’
“Daripada keseluruhan 1,050 kes yang disemak, sebanyak 1,049 membabitkan kandungan aman yang menyokong Palestin tetapi ditapis atau disekat secara berlebihan.
“Satu lagi kes pula membabitkan penarikan keluar kandungan yang menyokong Israel,” dakwa HRW.
HRW mendakwa penapisan dalam Instagram dan Facebook merangkumi penarikan keluar hantaran, cerita serta komen, dan menggantung atau melumpuhkan akaun.
Selain itu, menyekat ciri tertentu seperti keupayaan pengguna untuk terbabit dengan hantaran atau mengikuti akaun tertentu, serta membataskan kenampakan kandungan pengguna.