2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
21f0e8ff-870c-4cb3-a844-c2247290558b.jpg
Info Semasa

Hina Nabi Muhammad: Arab kempen boikot barangan India

NEW DELHI: Pengguna media sosial di negara Arab melancarkan kempen memboikot barangan keluaran India, susulan tindakan kebencian dan penghinaan terhadap penganut Islam di seluruh dunia.

Kempen itu berikutan India mengikut jejak langkah Perancis dan China yang meniup sentimen Islamophobia dengan menghina junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Parti Bharatiya Janata (BJP) yang mentadbir India kembali mencetuskan kontroversi selepas dua jurucakap parti mengeluarkan kenyataan berbentuk penghinaan.

Jurucakap Kebangsaan BJP, Nupur Sharma digantung daripada keahlian utama, Ahad lalu, selepas komentar yang dibuat semasa debat di televisyen, baru-baru ini.

Ketua Operasi Media Delhi BJP, Naveen Kumar Jindal pula dibuang kerja akibat polemik tersebut.

Sharma dilaporkan menghina junjungan besar baginda dan isteri Rasulullah, Saidatina Aisyah menerusi debat minggu lalu.

Selepas mencetuskan kemarahan ramai semasa debat sedang berlangsung, Jindal pula dilaporkan memuat naik ciapan mengenai Nabi Muhammad SAW.

Kontroversi yang tidak menghormati fahaman agama lain menimbulkan kemarahan rakyat India dan menuntut mereka diberkas.

INDIA MAKIN BAHAYA

Duta India di Kuwait dan Qatar menerima nota rasmi berhubung komentar berbentuk penghinaan agama itu.

Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed Mohammed Al-Ansari berkata, pihaknya memanggil Duta India bagi menyampaikan nota rasmi ‘menyatakan kekecewaan dan menolak kutukan sepenuhnya terhadap kontroversi itu’.

Agensi berita Qatar, QNA melaporkan, pihak kementerian mengalu-alukan kenyataan BJP yang menggantung kakitangan itu dan mengharapkan permohonan maaf secara terbuka oleh Kerajaan India yang dipimpin oleh Narendra Modi.

“Wacana Islamofobia mencapai ‘tahap berbahaya’ di India iaitu sebuah negara yang terkenal dengan kepelbagaian dan kewujudan bersama.

“Ucapan kebencian terhadap umat Islam di India perlu dihadapi secara rasmi,” katanya.

Kementerian Luar Pakistan pula mengutuk sekeras-kerasnya ‘kata-kata yang sangat menghina’.

“Ini adalah ucapan yang tidak boleh diterima langsung kerana bukan sahaja mengguris perasaan rakyat Pakistan, tetapi berbilion umat Islam di seluruh dunia.

“Walaupun BJP mengambil tindakan tatatertib terhadap individu tersebut, namun ia sudah terlewat dan tidak dapat meredakan kesakitan serta keperitan terhadap umat Islam,” katanya dalam kenyataan.

Arab Saudi menyifatkan kenyataan jurucakap itu berbaur ‘penghinaan’ dan menggesa supaya ‘menghormati kepercayaan dan setiap agama di dunia’.

Dalam pada itu, Pertubuhan Kerjasama Islam yang mempunyai 57 negara anggota turut mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan tidak bermaruah itu.

Pertubuhan itu merupakan organisasi kedua terbesar di dunia selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang mencecah 1.8 bilion populasi.

“Sekretariat Agung menyatakan kecaman keras dan mengutuk penghinaan yang dikeluarkan oleh seorang pegawai dalam parti pemerintah di India terhadap Nabi Muhammad SAW,” katanya.

MUSLIHAT INDIA

Apil lalu, Suruhanjaya Amerika Syarikat mengenai Kebebasan Beragama Antarabangsa (USCIRF) menggesa Jabatan Negara meletakkan India dalam senarai ‘negara yang menjadi perhatian khusus’ daripada aspek kebebasan beragama bagi tahun ketiga berturut-turut.

India dituduh ‘melibatkan diri dan bertolak ansur dengan pencabulan kebebasan beragama yang sistematik, berterusan dan teruk’.

“Sepanjang tahun ini, kerajaan India meningkatkan promosi dan penguatkuasaan dasar termasuk mempromosikan agenda nasionalis Hindu yang memberi kesan negatif kepada umat Islam, Kristian, Sikh, Dalit dan minoriti agama lain,” kata suruhanjaya itu dalam laporan tahunannya.

Sumber: Utusan