Hina Nabi: Imej diplomatik India tercalar
16.6.2022
NEW DELHI: Penghinaan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad oleh pemimpin politik parti Bharatiya Janata (BJP) mencetuskan kritikan meluas dari negara Arab.
Pakar menegaskan imej diplomatik yang tercalar ‘berpotensi merosakkan’ hubungan antara India dengan negara yang kaya hasil minyak di Asia Barat.
Timbalan Pengarah dan Sekutu Kanan Asia Selatan di Wilson Center, Michael Kugelman berkata, konflik tersebut berpotensi ‘merosakkan’ hubungan India dengan negara lain.
“Saya tidak ingat kali terakhir maklum balas yang begitu kuat dari negara-negara anggota Majlis Kerjasama Negara Arab Teluk (GCC) terhadap politik domestik di India.
“Malah, dalam isu Kashmir negara tersebut benar-benar menunjukkan reaksi bantahan,” katanya kepada Al-Jazeera.
Penganalisis Kanan di Yayasan Observer Research New Delhi, Manoj Joshi berkata, BJP akan menggandakan tindakan retorik anti-Islam.
“Ia sama sahaja seperti negara teluk yang tidak menghiraukan tindakan kerajaan China terhadap etnik Islam di Xinjiang. Mereka juga akan memberikan India pas percuma,” katanya.
Pengarah Program Pengajian Asia Barat di Universiti Qatar, Mahjoob Zweiri berkata, retorik anti-Islam dan anti-Muslim parti pemerintah India kian meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Minggu lalu, Qatar mengetuai kecaman diplomatik serantau apabila Duta India di negara itu dipanggil membuat ‘permohonan maaf secara terbuka’ berhubung komen yang mengguris jutaan perasaan umat Islam di dunia.
Ketika itu juga, Naib Presiden India, Venkaiah Naidu melakukan lawatan ke Doha.
Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Lolwah al-Khater turut menekankan sentimen ‘Islamophobia’ yang sudah sampai ke ‘tahap bahaya’.
Emiriah Arab Bersatu dan Arab Saudi turut menyertai ahli enam anggota GCC bersama lebih 12 negara Islam lain bagi mengutuk kenyataan yang menghina Nabi Muhammad.
Kementerian Luar India juga terpaksa menjelaskan pendirian kerajaan yang menghormati semua agama dan kenyataan penghinaan itu tidak mencerminkan pandangan kerajaan.
Bagaimanapun, kenyataan BJP tidak boleh dipercayai kerana retorik anti-Islam adalah teras kepada politik parti nasionalis Hindu, yang mentadbir negara yang mempunyai 1.3 bilion penduduk sejak 2014.
Sumber: Utusan