2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
c275edf9-5819-4929-ba78-3db5605aaa8f.jpg
Info Semasa

Penduduk Palestin ditembak mati tentera Israel

RAMALLAH: Seorang pekerja Palestin ditembak mati oleh tentera Israel hari ini, ketika melintasi sekatan keselamatan di Tebing Barat yang diduduki, kata sumber Palestin.

Kementerian kesihatan Palestin mengenal pasti lelaki yang terbunuh itu sebagai Nabil Ghanem, 53, dari bandar Nablus, Tebing Barat.

Agensi berita rasmi Palestin, Wafa, berkata Nabil adalah antara puluhan ribu rakyat Palestin Tebing Barat yang kerap mencari pekerjaan di Israel.

Jurucakap tentera Israel berkata tentera menembak ‘seorang suspek yang merosakkan pagar keselamatan’.

Upah di ladang dan tapak pembinaan di Israel jauh lebih tinggi berbanding yang boleh dibayar kebanyakan majikan Palestin di Tebing Barat, wilayah yang diduduki Israel sejak 1967.

Pekerjaan di Israel sangat diidamkan ramai rakyat Palestin sehingga ada dalam kalangan mereka yang mempunyai permit untuk bekerja di Israel, manakala yang lain cuba masuk tanpa kebenaran.

Pembunuhan Nabil berlaku ketika keganasan antara Israel dan Palestin semakin memuncak.

Seramai 19 orang, kebanyakannya orang awam Israel, termasuk 18 di Israel dan seorang peneroka Yahudi, terbunuh dalam serangan oleh penduduk Palestin dan Arab Israel sejak akhir Mac lalu.

Pasukan keselamatan Israel bertindak balas dengan serbuan di Israel dan di Tebing Barat, khususnya di dalam dan sekitar Jenin, yang menyaksikan tiga penyerang Arab Israel dan seorang komando polis Israel terbunuh.

Seramai 45 rakyat Palestin terbunuh di Tebing Barat, kononnya disyaki militan, namun turut membabitkan bukan militan, termasuk seorang wartawan Al Jazeera yang membuat liputan serbuan di Jenin.

Ketegangan baru-baru ini memuncak semula selepas tiga rakyat Palestin anggota puak bersenjata dibunuh kelmarin oleh tentera Israel semasa serbuan tentera di Jenin.

Sumber: Berita Harian