2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
WhatsApp Image 2023-12-05 at 12.30.05 PM
Info Semasa

Hampir 400,000 rakyat Palestin hilang kerja angkara Zionis

Beratus-ratus ribu rakyat Palestin di Tebing Barat hilang pekerjaan atau dibekukan gaji selepas pihak berkuasa Israel membatalkan permit kerja mereka dan mengenakan sekatan ketat ke atas lintasan sempadan berikutan serangan pada 7 Oktober lalu.

Menurut anggaran awal oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang dipetik dari Utusan, lebih 182,000 penduduk Gaza yang bekerja di Israel ditamatkan perkhidmatan serta-merta.

HILANG MATA PENCARIAN

Kira-kira 24 peratus atau bersamaan 208,000 pekerjaan di Tebing Barat juga lenyap akibat perang Israel-Hamas.

Menurut ILO, 160,000 lagi pekerja dari Tebing Barat hilang pekerjaan sekurang-kurangnya buat sementara waktu akibat sekatan yang dikenakan ke atas akses rakyat Palestin kepada pasaran buruh selain penutupan sempadan di Israel.

Alaa Mousa dari Ramallah di Tebing Barat menabung selama lebih 12 tahun untuk membina rumah keluarganya dan akhirnya berjaya merealisasikan impian itu.

Semasa perjalanan yang panjang dan membosankan setiap hari ketika melalui beberapa pusat pemeriksaan untuk sampai ke tempat kerjanya di Israel, bapa kepada dua anak itu sering memikirkan tentang bagaimana rupa tingkat bawah rumahnya apabila siap.

Tetapi sejak lebih 40 hari lalu, semua kerja-kerja pembinaan rumah idamannya itu sudah terbengkalai

“Saya perlu membayar ansuran bulanan berjumlah $3,000 (RM13,979) untuk menyiapkan rumah ini. Saya melakukan kerja di Israel, tetapi kini hutang saya bertimbun, keluarga saya kelaparan dan saya tidak tahu bila semua ini akan berakhir,” kata pekerja pembinaan berusia 35 tahun itu.

GAJI DISEKAT

Penolong Profesor Sains Politik Universiti Birzeit di Tebing Barat, Hani Mous berkata, keadaan itu adalah sebahagian daripada hukuman kolektif Israel terhadap rakyat Palestin, yang turut melibatkan pekerja dalam kawasan Pihak Berkuasa Palestin (PA).

Menurut Hani, gaji mereka tidak dibayar kerana Israel enggan memindahkan wang yang diperlukan.

“Di bawah perjanjian damai sementara, menteri kewangan Israel mempunyai kata putus dalam pemindahan wang bulanan yang dibuat kepada PA daripada cukai yang dikutipnya bagi pihak Palestin.

“PA biasanya boleh membayar pekerjanya, tetapi tidak dapat melakukannya sejak bulan Oktober kerana Israel enggan membuat pemindahan penuh,” jelasnya.

Hani adalah antara beribu-ribu pekerja Palestin yang memegang permit membenarkan mereka masuk ke Israel untuk bekerja, menjana pendapatan anggaran kira-kira $3 bilion (RM13.97 bilion) setahun.

Tetapi permit itu sudah digantung sejak 8 Oktober lalu.

“Tidak pernah ada penutupan yang ketat terhadap pekerja sebelum ini.

“Keluar masuk Israel sentiasa menjadi ujian yang berisiko, tetapi wang yang diperoleh menjadikannya berbaloi, termasuk beberapa langkah keselamatan apabila kemalangan menimpa pekerja.

“Tetapi hari ini, kami tidak mempunyai apa-apa, kami ditinggalkan dalam keadaan yang langsung tidak pernah saya jangkakan,” katanya.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), perang itu menambah tekanan yang besar pada ekonomi Palestin yang sudah nazak.

Masalah yang dihadapi peminjam untuk membayar hutang bulanan mereka dijangka meningkatkan risiko kepada sektor perbankan Gaza dan seluruh wilayah Palestin yang diduduki selain mengancam kestabilan kewangannya.

Di sebalik ketegangan, Israel dilaporkan mengeluarkan permit sementara kepada 8,000 pekerja dari Tebing Barat untuk menyeberang sempadan kerana sektor pembinaan, pertanian dan perkhidmatannya sangat bergantung kepada tenaga buruh Palestin.

Namun mereka sering dipaksa memakai gelang yang boleh dijejaki semasa mereka melintasi pusat pemeriksaan yang akan serahkan setiap hari apabila mereka keluar dari Israel.