2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
WhatsApp Image 2024-02-21 at 11.37.25 AM
Uncategorized

Hamas tegaskan tiada pertukaran tahanan tanpa gencatan senjata penuh

Kumpulan pejuang Palestin, Hamas menegaskan perjanjian pertukaran tahanan dengan Israel hanya boleh dilaksanakan dengan gencatan senjata penuh dan kemasukan bantuan ke Gaza.

Menerusi laporan Berita Harian yang dipetik dari Agensi Anadolu, Ahli Biro Politik Hamas, Khalil al-Hayya, berkata Israel perlu melaksanakan tiga syarat iaitu pertama memberikan kelegaan dan memastikan rakyat Palestin kembali kepada kehidupan normal.

Kedua, Israel perlu menamatkan pencerobohan dan yang ketiga, perjanjian pertukaran tahanan sebenar yang membebaskan 10,000 banduan kami di penjara Israel.

Pada masa sama, Khalil berkata, Israel enggan berundur dari Gaza dan tidak membenarkan warga Palestin pulang ke rumah mereka.

“Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menarik balik apa dipersetujuinya dalam kertas Paris minggu lalu,” katanya.

Sabtu lalu, Netanyahu, menyifatkan cadangan Hamas mengenai gencatan senjata dan pertukaran tahanan sebagai angan-angan.

Menurut Anadolu yang memetik sumber Palestin, pada 7 Februari lalu, Hamas mencadangkan rancangan tiga peringkat untuk gencatan senjata Gaza yang merangkumi pemberhentian sementara selama 135 hari dalam pertempuran sebagai balasan kepada pembebasan tebusan.

Katanya, perjanjian rangka kerja asal diusahakan semasa mesyuarat Paris membabitkan pegawai tertinggi dari Amerika Syarikat (AS), Israel, Qatar dan Mesir, bulan lalu.

Israel percaya terdapat 134 warga Israel ditahan di Gaza selepas tentera Zionis berjaya membebaskan dua warganya yang ditahan di bandar Rafah di selatan Semenanjung Gaza.

Israel melancarkan serangan maut di Semenanjung Gaza membunuh hampir 29,092 dan mencederakan kira-kira 69,028 sejak 7 Oktober lalu, yang turut menyebabkan kemusnahan secara besar-besaran dan kekurangan barangan keperluan.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), peperangan Israel ke atas Gaza menyebabkan sehingga 85 peratus penduduk wilayah itu terpaksa berpindah selain diuji dengan kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan, manakala 60 peratus infrastruktur wilayah juga musnah.

Israel didakwa melakukan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Keputusan interim pada Januari mengarahkan Tel Aviv menghentikan tindakan pembunuhan beramai-ramai dan mengambil langkah untuk menjamin bantuan kemanusiaan kepada orang awam di Gaza.