2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
hamas_-_afp_1703517894
Uncategorized @ms

Hamas, Jihad Islam bertegas terus juang untuk rakyat Palestin

Hamas dan Jihad Islam menegaskan pendirian terus berjuang untuk rakyat Palestin, sekali gus menolak cadangan Mesir supaya mereka melepaskan kuasa di Semenanjung Gaza sebagai pertukaran bagi gencatan senjata kekal.

Menurut laporan Berita Harian yang dipetik dari sumber keselamatan Mesir semalam, kedua-dua kumpulan pejuang itu yang mengadakan rundingan berasingan dengan perantara Mesir di Kaherah, berpegang kepada pendirian tidak menawarkan sebarang konsesi selain daripada pembebasan tebusan, kata sumber terbabit. Dipercayai lebih 100 tebusan masih ditahan di Gaza.

Seorang pegawai Hamas yang berkunjung ke Kaherah, baru-baru ini, enggan mengulas secara langsung berhubung perkara itu, sebaliknya menjelaskan pendirian rasmi kumpulan berkenaan.

“Hamas berusaha menamatkan pencerobohan serta penindasan ganas Israel terhadap rakyat kami, termasuk pembunuhan beramai-ramai dan secara kejam yang mereka lakukan. Kami membincangkan cara untuk mencapai matlamat itu dengan saudara kami di Mesir.

“Kami menekankan bahawa bantuan kepada rakyat kami mesti ditingkat serta diteruskan, dan ia juga mesti sampai kepada seluruh penduduk dari utara hingga ke selatan.

“Selepas pencerobohan serta penindasan ganas itu dihentikan dan bantuan ditingkatkan, kami bersedia untuk membincangkan pertukaran tahanan”.

Mesir dilapor mencadangkan satu ‘visi’, dengan disokong perantara Qatar, yang akan membabitkan gencatan senjata sebagai pertukaran untuk pembebasan lebih ramai tebusan, sekali gus membawa kepada perjanjian lebih ‘luas’ mencakupi gencatan senjata kekal bersama rombakan kepimpinan di Gaza yang ketika ini diterajui kumpulan pejuang Hamas.

Sementara itu, kumpulan pejuang Jihad Islam turut senada dengan pendirian Hamas.

Delegasi Jihad Islam diketuai pemimpinnya, Ziad al-Nakhala, berada di Kaherah untuk berbincang dengan pegawai Mesir berhubung tawaran pertukaran tahanan dan isu lain.

Bagaimanapun, seorang pegawai memaklumkan, kumpulan pejuang itu menetapkan prasyarat untuk rundingan lanjut – serangan tentera Israel mesti ditamatkan.

Katanya, Jihad Islam menegaskan bahawa sebarang pertukaran tahanan mesti berasaskan prinsip ‘semua untuk semua’, yang bermakna pembebasan semua tebusan ditahan Hamas serta Jihad Islam di Gaza berbalas pembebasan semua rakyat Palestin yang dipenjarakan oleh Israel.

Sebelum peperangan terkini meletus, seramai 5,250 rakyat Palestin dilaporkan ditahan di penjara Israel.

Namun, jumlah itu telah meningkat kepada kira-kira 10,000 susulan tindakan rejim Zionis menangkap ribuan lagi rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat sejak 7 Oktober lalu, menurut Persatuan Tahanan Palestin.