2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

GUNUNG SINABUNG MUNGKIN MELETUS LEBIH KERAP

MEDAN – Pihak berkuasa menasihati orang ramai supaya terus waspada berikutan Gunung Sinabung di daerah Karo, yang sudah meletus beberapa kali kemungkinan akan terus aktif dalam masa terdekat, selepas tiada letusan sejak lebih setahun.

Susulan letusan terbaru semalam, ia menghamburkan abu vulkanik setinggi 5,000 meter dan asap dari puncak gunung pada jam 10.16 pagi.

Ia diikuti letusan kedua jam 11.17 pagi dengan menghasilkan abu setinggi 2,000 meter, menurut Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Geologi Indonesia (PVMBG).

Pegawai PVMBG di pos pemantau Sinabung, Armen Putera, berkata abu gunung berapi daripada letusan semalam melewati sekurang-kurangnya tiga kawasan di daerah Karo dan menyebabkan langit gelap, terutama di daerah Namanteran, yang terletak 5.2 kilometer dari gunung berkenaan.

Katanya, lebih banyak letusan dijangka dalam masa terdekat berikutan kekerapan jumlah gempa tektonik berlaku kebelakangan ini sehingga menggegarkan gunung berapi, menurut laporan The Jakarta Post.

“Kami sudah mencatat peningkatan gempa tektonik di Gunung Sinabung selama 12 jam terakhir. Ini adalah tanda-tanda kepada (berlakunya) letusan. Kita harus meningkatkan kewaspadaan dan menjauhi zon bahaya gunung berapi berkenaan,” kata Armen.

Agensi Mitigasi Bencana Karo (BPBD) memaklumkan, sekurang-kurangnya tiga daerah iaitu Namanteran, Merdeka dan Berastagi terjejas oleh letusan semalam dengan kawasan dipenuhi abu gunung berapi.

“Penduduk terpaksa menghentikan kegiatan mereka berikutan abu tebal, langit gelap seperti malam kerana ditutupi abu,” kata pemangku Ketua BPBD Karo, Natanael Perangin Angin.

Gunung Sinabung meletus kembali untuk pertama kalinya pada jam 1.58 pagi Sabtu lalu, selepas 14 bulan tidak aktif, memuntahkan abu vulkanik setinggi 2,000 meter, merentas sehingga ke Berastagi, yang terletak kira-kira 30 kilometer dari gunung berapi.

Kemudian, letusan kedua berlaku pada jam 5.18 petang hari sama, meletuskan abu setinggi 1,000 meter, menurut seorang lagi pegawai di pos pemantau Sinabung, M Nurul Asrori.

“Kami meminta penduduk dan pelancong berhati-hati, menjauhi Gunung Sinabung. Jaga keselamatan anda, kerana letusan yang lebih besar dapat terjadi bila-bila masa,” katanya.

Sehingga petang semalam, pihak berkuasa tempatan belum mengeluarkan sebarang arahan perpindahan kepada penduduk yang tinggal berhampiran gunung berapi. 

Sumber: Berita Harian