2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Aktiviti SMInfo SemasaKenyataan Media

GESA ISRAEL BATAL HASRAT AMBIL WILAYAH PALESTIN

PARIS – Presiden Perancis, Emmanuel Macron menggesa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu membatalkan hasrat untuk menakluk wilayah Palestin di Tebing Barat dan di tempat lain.

Pejabat Presiden Perancis pada hari ini memaklumkan, perkara itu dinyatakan dalam perbualan telefon di antara kedua-dua pemimpin negara berkenaan.

Macron “menegaskan bahawa langkah berkenaan bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan membahayakan kemungkinan bagi penyelesaian dua negara sebagai asas perdamaian yang adil serta berkekalan antara rakyat Israel dan Palestin,” kata pejabat itu dalam satu kenyataan selepas sesi perbualan telefon itu pada Khamis.

Ia langkah terbaharu yang diambil pemimpin Eropah bagi memberi tekanan kepada Netanyahu untuk membatalkan rancangan meluaskan penempatan Yahudi di Tebing Barat dan Lembah Jordan yang strategik.

Tindakan yang mencetuskan kontroversi itu disokong dalam pelan Asia Barat yang dilancarkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Januari lalu.

Kerajaan Israel menetapkan 1 Julai sebagai tarikh bagi memulakan pengambilalihan kawasan Palestin, berikutan populasi penduduk Israel semakin bertambah sejak Perang Enam Hari 1967.

Kementerian Luar Perancis dan Jerman, bersama Mesir dan Jordan, iaitu dua negara Arab yang mempunyai perjanjian damai dengan Israel memberi amaran pada minggu ini bahawa pencerobohan itu boleh membawa ‘kesan’ kepada hubungan mereka.

Bagaimanapun, pejabat Presiden itu memaklumkan, Macron memberitahu Netanyahu yang Perancis tetap komited terhadap keselamatan Israel dan menyatakan ikatannya kepada persahabatan serta keyakinan yang menghubungkan Perancis dan Israel.

Sumber: Berita Harian