2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

GABUNGAN TENTERA DI YAMAN ISYTIHAR GENCATAN SENJATA

RIYADH – Gabungan tentera diketuai Riyadh yang memerangi pemberontak Huthi di Yaman, mengisytiharkan gencatan senjata selama dua minggu di negara itu, bermula hari ini, untuk melawan COVID-19, kata seorang pegawai Arab Saudi.

Langkah sehala berkenaan menyusul selepas pertempuran terus meningkat antara pihak terbabit peperangan berkenaan walaupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menggesa supaya gencatan senjata dilakukan demi melindungi orang awam daripada pandemik di negara termiskin dalam dunia Arab itu.

“Kami mengumumkan gencatan senjata bermula (hari ini) selama dua minggu.

“Kami menjangkakan Huthi akan menerima. Kami sedang bersiap siaga di lapangan untuk memerangi COVID-19 di Yaman,” kata pegawai terbabit kepada pemberita, semalam.

Beliau berkata, gencatan senjata sehala itu bermula jam 9 pagi ini. Bagaimanapun, tiada reaksi diterima daripada pihak pemberontak, setakat ini.

Pegawai itu menegaskan, gabungan tentera berkenaan komited terhadap gencatan senjata selama dua minggu, namun tetap akan mempertahankan diri sekiranya diserang.

Katanya, tempoh gencatan senjata itu berkemungkinan dilanjutkan jika pihak Huthi memberikan respons positif terhadap langkah berkenaan.

Jurucakap gabungan terbabit, Turki al-Maliki, pula berkata langkah itu menyasarkan pewujudan ‘keadaan baik’ bagi mesyuarat seliaan PBB antara Kerajaan Yaman disokong Riyadh, pihak pemberontak dan gabungan berkenaan demi membuka laluan ke arah gencatan senjata berkekalan di Yaman.

“Ia adalah satu peluang untuk mencapai gencatan senjata yang komprehensif dan berkekalan di Yaman,” katanya dalam satu kenyataan media dikeluarkan oleh Saudi Press Agency.

Gabungan tentera diketuai Arab Saudi mula terbabit secara aktif dalam konflik Yaman bagi menyokong kerajaannya yang diiktiraf antarabangsa sejak 2015.

Sistem penjagaan kesihatan yang rapuh di Yaman bagaimanapun tidak merekodkan sebarang kes COVID-19, setakat ini.

Namun, kumpulan bantuan memberi amaran, Yaman akan berdepan impak amat buruk sekiranya mengalami jangkitan virus itu.

Ketika ini, negara berkenaan dibelenggu kemelut yang disifatkan PBB sebagai krisis kemanusiaan terburuk di dunia.

Sebelum ini, Arab Saudi, Kerajaan Yaman dan pemberontak Huthi mengalu-alukan rayuan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, untuk ‘gencatan senjata global dengan segera’ demi melindungi orang awam yang lemah di zon konflik.

Namun, pertempuran meningkat semula antara pihak tentera Yaman dan Huthi di sekitar daerah utara Al-Jouf dan Marib, baru-baru ini.

Sumber: Berita Harian