2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
WhatsApp Image 2023-02-06 at 9.41.05 AM
Info Semasa

UNHCR gesa Israel-Palestin tamatkan ketegangan tidak logik

GENEVA: Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menggesa Israel dan Palestin menamatkan ‘ketegangan tidak logik’ ketika konflik kedua-dua pihak kian memuncak.

Dalam laporan sama, Berita Harian turut menyatakan, Pesuruhjaya UNHCR, Volker Turk berkata pertubuhan itu juga merayu pemimpin kedua-dua pihak segera berusaha untuk menyelesaikan konflik yang berpanjangan selama berdekad itu.

“Daripada menggandakan keganasan dan paksaan yang gagal pada masa lalu, saya menggesa semua yang terbabit untuk melangkah keluar daripada ketegangan tidak logik, yang hanya berakhir dengan kehilangan nyawa dan putus asa,” katanya dalam kenyataan.

Turk turut mendedahkan rekod rakyat Palestin yang terbunuh di Tebing Barat yang diceroboh Israel, termasuk Timur Baitulmaqdis pada tahun lalu, di samping jumlah kematian tertinggi warga Israel direkodkan di kawasan itu dalam tempoh beberapa tahun.

“Setakat ini kedatangan tahun baharu ‘dihiasi’ dengan lebih banyak pertumpahan darah, lebih banyak kemusnahan dan situasi terus meningkat menjadi lebih tidak menentu.

“Pada tahun lalu, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia (OHCHR) merekodkan pembunuhan sebanyak 151 rakyat Palestin oleh pasukan keselamatan Israel di Tebing Barat yang diceroboh, termasuk di Timur Baitulmaqdis.

“Seorang kanak-kanak turut dibunuh sama ada oleh tentera atau penceroboh Israel. Dua lagi rakyat Palestin dibunuh oleh penceroboh Israel,” katanya.

Kebanyakan kes membabitkan pasukan keselamatan mencetuskan kebimbangan serius cenderung menggunakan kekerasan yang berlebihan, selain melakukan pembunuhan sewenang-wenangnya.

Pada masa sama juga, sebanyak 24 warga Israel dibunuh di negara haram Yahudi itu oleh rakyat Palestin, termasuk di kawasan Tebing Barat yang diceroboh.

Sementara itu, sebanyak 34 rakyat Palestin dan tujuh warga Israel dibunuh sejak awal tahun ini.

Turk juga melahirkan rasa bimbang dengan langkah Israel baru-baru ini yang hanya mengakibatkan keganasan berterusan, selain melanggar undang-undang hak asasi manusia serta menderhakai undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Rentetan serangan pada minggu lalu di Timur Baitulmaqdis, pihak berkuasa Israel bertindak menyita kediaman suspek penyerang.

Lebih 40 orang ditangkap dan dua keluarga diusir secara paksa.

Israel mencadangkan langkah lain termasuk membatalkan dokumen pengenalan diri, kewarganegaraan dan hak pemastautin serta faedah keselamatan sosial saudara suspek penyerang dan meningkatkan kegiatan perobohan rumah.