Info Semasa

TAMAK YANG TIDAK RUGI

Menurut Syed Qutb, ayat ke-9 di dalam surah al-Munafiqun ini menjelaskan bahawa harta dan anak adalah merupakan faktor yang sering melalaikan manusia jika tidak difahami tujuan sebenar kewujudannya di dunia. Allah menganugerahkan harta benda dan anak-anak agar manusia menjadi khalifah dimuka bumi ini. Bukan untuk melalaikan mereka daripada berzikir kepada Allah S.W.T atau menyibukkannya dengan urusan dunia semata-mata. Namun, ramai manusia yang tenggelam dalam kemewahan tanpa mengambil berat akan tangungjawabnya terhadap harta tersebut.

Sememangnya manusia tidak pernah puas dengan harta. Itulah sifat manusia sejak dahulu hingga kini, kecuali bagi mereka yang telah Allah berikan hidayah kepadanya. Ada yang menghabiskan waktunya hanya untuk urusan dunia hingga lupa tangungjawabnya kepada Allah. Mereka tidak berkesempatan untuk menunaikan solat Lima waktu. Apalagi berjemaah di masjid atau menghadiri majlis-majlis ilmu. Mereka begitu sibuk mengumpulkan harta tanpa henti. Harta benda yang sedia bertimbun seakan-akan tidak mencukupi, malah mereka menginginkan harta yang lebih banyak lagi. Benarlah yang digambarkan oleh Nabi S.A.W dalam satu hadis (Maksudnya):-

Dari Ibnu ‘Abbas, ia berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda (maksudnya):

“Seandainya seorang anak Adam memiliki satu lembah emas, tentu ia menginginkan dua lembah lainnya, dan sama sekali tidak akan memenuhi mulutnya (merasa puas) selain tanah (iaitu setelah mati) dan Allah menerima taubat orang-orang yang bertaubat.” (HR Bukhari & Muslim)

Kerana itu, ketamakan yang lahir dalam diri manusia ini seharusnya dikawal dengan didikan aqidah yang sahih, bersumberkan al-Quran dan hadis. Melalui didikan ini, akan terlahirlah keyakinan bahawa harta dunia walaupun bertimbun, hakikatnya hanyalah sedikit dan sementara. Maka, mereka tidak akan menjadikan dunia sebagai buruan, tetapi sebaliknya menjadikan ia sebagai jambatan menuju jambatan menuju akhirat.

Ya, harta kekayaan merupakan rezeki yang Allah kurniakan kepada hamba-hamba-Nya. Umat islam digalakkan agar mencari dan mengumpulkan harta daripada sumber yang halal. Ia juga hendaklah digunakan mengikut landasan syarak supaya membawa keberkatan di dunia dan akhirat.

Sebagaimana firman Allah S.W.T (maksudnya):

“Dan carilah (pahala) negeri akhirat dengan apa (harta kekayaan) yang telah dianugerahkan Allah kepadamu… “ (al-Qasas:77)

Harta Kekayaan kita pada dasarnya hanyalah merupakan amanah dan pinjaman semata-mata. Bila-bila masa ia akan lenyap daripada pegangan kita. Pemilik hakikinya hanyalah Allah S.W.T. Malah, harta tersebut akan dipersoalkan tentang sumbernya, perbelanjaan serta penggunaannya kelak. Islam melarang umatnya daripada melakukan pembaziran ataupun mensia-siakan harta. Bahkan, cara hidup yang sederhana adalah sesuatu yang amat dianjurkan dalam islam.

Islam turut menyeru umatnya untuk mengejar kekayaan dunia, tetapi dengan tujuan untuk membantu orang lain yang tidak berkemampuan. Umat islam harus berusaha supaya mereka dapat mengeluarkan zakat, bukan menjadi penerimaanya sahaja. Lagi banyak hartanya, maka lagi besar zakatnya. Malah, dengan harta itu juga boleh digunakan untuk membantu orang yang kurang bernasib baik seperti anak-anak yang miskin, atau mangsa-mangsa banjir. Seterusnya, ia boleh juga disumbangkan untuk saudara-saudara islam di palestin, Syria dan Rohingya.

Islam juga menggalakkan umatnya agar membelanjakan hartanya ke jalan Allah, seperti membantu pergerakan dan aktiviti dakwah. Tidak dinafikan, sejumlah Dana diperlukan untuk menggerakkan aktiviti agama di masjid, surau mahupun pertubuhan-pertubuhan islam. Infaqnya, itu termasuk dalam jihad harta yang dituntut.

Firman allah S.W.T (maksudnya):

“… berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.” (at-Taubah:41)

Kisah-kisah para sahabat juga tidak harus diketepikan. Peribadi mereka telah menunjukkan bagaimana aqidah yang diterapkan oleh Rasulullah S.A.W Berjaya melahirkan manusia yang tidak mementingkan kehidupan di dunia.

Umum mengenali ‘Abdur Rahman bin ‘Auf, seorang sahabat yang kaya-raya sehingga Rasulullah S.A.W pernah berdoa (maksudnya):

“Semoga Allah memberkati kamu pada apa yang telah kamu belanjakan, dan semoga Allah memberkati kamu pada apa yang kamu simpan.”

Suatu hari, Madinah riuh-rendah kerana keadaan kota yang diselungi debu yang sangat tebal, Rupa-rupanya, keadaan tersebut bukanlah disebabkan oleh ribut pasir tetapi kerana rombongan dagangan ‘Abdur Rahman bin ‘Auf yang membawa 700 kenderaan yang sarat dengan muatan.

Sebaik ‘Aisyah R.A mengetahui hal tersebut beliau berkata:

“Semoga Allah memberkati rezeki yang dikurniakan kepada beliau di dunia, sesungguhnya pahala akhirat lebih besar.”

Belum sempat unta-unta itu duduk, berita kata-kata Ummu al-Mukminin itu sampai ke telinga “Abdur Rahman bin ‘Auf. Lalu segera ‘Abdur Rahman menemui “Aisyah R.A seraya berkata:

“wahai Ibu! Kamu mengingatkanku suatu hadis yang tidak pernah kulupa. Dengan ini, aku berharap agar kamu menjadi saksi bahawa rombongan ini berserta muatanya, aku persembahkan di jalan allah S.W.T.”

Lantas, disedahkan kesemua hasil titik peluhnya itu.

Sebagai muslim, seharusnya tujuan hidup kita lebih bertumpu kepada matlamat yang paling tinggi iaitu kesejahteraan di akhirat. Penanaman aqidah dan ilmu yang sahih, benar-benar terbukti dapat membentuk manusia yang jelas pandangannya terhadap harta benda, anak-anak serta hakikat kekayaan duniawi. Kerana itu, dia sekali-kali tidak akan dilalaikan daripada mengingati Allah dan melaksanakan tangungjawabnya terhadap agama. Hartanya itu akan akan membuatkannya lebih dekat dengan Allah, melalui amal-amal soleh dan sedekah jariah yang dilakukanya. Semoga segala harta kesenangan yang kita miliki, memberikan manfaat dan kebaikan untuk diri, keluarga, masyarakat dan agama, baik di dunia mahupun di akhirat.

Sekiranya anda ingin bersedekah, boleh tekan link dibawah

:
>> www.untukmurohingya.com
>> www.untukmurohingya.com
>> www.untukmurohingya.com

(Sumber: Ustaz Suhaimi Jairi, Graduan Usuluddin, Universiti Al-Azhar Mesir, Guru SMK Dato’ Ali Hj. Ahmad, Pontian)