”PERCEPATKAN PEMBERIAN KERAKYATAN KEPADA ETNIK ROHINGYA AGAR TIDAK TERUS BERADA DALAM KESUKARAN”- SERANTAU MUSLIM
Sejak 2017 hingga kini, 2020, keadaan etnik Rohingya masih berada dalam belenggu yang sama iaitu tiada kerakyatan khusus untuk mereka. Maka, sejak itu jugalah mereka masih berstatus pelarian walaupun pelbagai usaha dunia antarabangsa lakukan demi mengembalikan kerakyatan buat mereka.
Namun, sehingga hari ini Serantau Muslim (SM) melihat Myanmar masih berdegil dan tiada kata putus untuk memberi jaminan keselamatan kepada etnik tersebut, atas sebab itu mereka sentiasa mencari jalan terbaik demi menyelamatkan diri dan ahli keluarga mereka walaupun keadaan sesukar mana sekalipun.
Kini, dianggarkan 1.3 juta pelarian Rohingya meninggalkan Rakhine ekoran operasi tentera Myanmar pada 2017 dan cuba melarikan diri meninggalkan kem pelarian di Bangladesh dengan menaiki bot ke Malaysia.
Dari situasi itu juga, komuniti sentiasa digemparkan dengan berita berkenaan isu keselamatan mereka seperti lemas, diperdagangkan oleh pihak tidak bertanggungjawab dan sebagainya.
Terbaru, SM dimaklumkan hasrat sekumpulan pelarian Rohingya untuk mendapatkan perlindungan berakhir dengan tragedi malang apabila 14 lemas selepas bot dinaiki mereka karam di selatan perairan Bangladesh.
Ekoran tragedi itu, Komander pengawal pantai, Naim Ul Haq menyatakan pasukan mencari dan menyelamat bergegas mengaktifkan operasi selepas menerima maklumat mengenai kejadian dan seramai 70 lagi diselamatkan di perairan berkenaan namun usaha mencari penumpang lain masih giat dijalankan.
Justeru, SM menyeru Myanmar agar percepatkan untuk mengembalikan hak kerakyatan kepada mereka agar etnik Rohingya diberikan segala hak yang perlu mereka miliki agar kehidupan mereka kembali normal seperti orang lain.
Ustaz Mohd Hakim bin Mohd Nor
Pengerusi Serantau Muslim
#peaceforarakan
#sendmelove
#serantaumuslim