2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

KES TEMBAKAN RAMBANG DI KORAT, SUSPEK TELAH DITEMBAK

BANGKOK: Seorang tentera Thailand yang menembak 21 individu secara rambang, di sebuah pusat beli-belah di Korat, ditembak mati oleh pasukan keselamatan, kira-kira jam 9 pagi tadi.

Berita yang diumumkan Komander Tentera Leftenan Jeneral, Thanya Kiatsarn itu, mengakhiri kepungan semalaman di pusat beli-belah itu yang menyaksikan sekurang-kurangnya 20 individu terkorban.

Menteri Kesihatan Awam Anutin Charnvirakul, mengesahkan suspek mati ditembak di pusat beli-belah Terminal 21 yang terletak di bandar Nakhon Ratchasima.

“Terima kasih anggota polis dan tentera yang menamatkan situasi ini. Penembak mati ditembak,” katanya menerusi Facebook.

Polis mengesahkan suspek seorang tentera berusia 32 tahun bernama Jakrapanth Thomma.

Insiden pembunuhan itu bermula kira-kira jam 3 pagi semalam, ketika tentera itu melepaskan tembakan secara rambang di dalam sebuah rumah, sebelum bergerak ke kem tentera dan pusat beli-belah itu sambil memuat naik hantaran di Facebook.

Media Thailand melaporkan, suspek berkhidmat di pangkalan tentera berhampiran Nakhon Ratchasima yang terletak kira-kira 250 kilometer (km) dari Bangkok.

Sebelum serangan itu, Jakrapanth memuat naik hantaran di akaun Facebook milikinya memaklumkan mahu membalas dendam, namun tidak memberitahu mengapa dia mahu berbuat demikian.

Seorang pegawai kesihatan daerah dalam sidang media memaklumkan, seramai 20 individu maut dan 42 lagi cedera, mengubah angka asal pihak berkuasa yang sebelum ini memaklumkan 21 individu mati ditembak.

“Kami tidak tahu mengapa suspek bertindak demikian. Dia seolah-olah menjadi gila,” kata jurucakap Kementerian Pertahanan, Kongcheep Tantrawanit kepada Reuters.

Terdahulu, tentera dan polis menyerbu pusat beli-belah itu dan membawa keluar ratusan orang awam yang terperangkap di dalamnya.

Beberapa das tembakan kedengaran sebelum subuh, beberapa jam selepas pihak keselamatan Thailand menyerbu masuk ke tingkat bawah Terminal 21, di mana suspek yang memiliki senjata curi daripada bereknya, dikepung.

Ketika polis menyerbu masuk, sejumlah orang awam yang terkejut dan ketakutan, berlari meninggalkan kawasan penuh dengan darah dalam insiden yang dipaparkan menerusi Facebook oleh penembak itu.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan jumlah individu yang masih berada dalam pusat beli-belah itu selepas polis menegaskan mereka sudah mengawal tingkat bawah kompleks itu semalam.

Sebelum ini, mangsa terakhir dilaporkan dalam insiden itu adalah seorang pegawai polis yang terbabit dalam serbuan sekitar jam 3 pagi, untuk memaksa penembak itu keluar, kata Timbalan Perdana Menteri Anutin Charnvirakul.

“Dia ditembak dan malangnya, dia tidak dapat diselamatkan,” kata Anutin yang juga Menteri Kesihatan Thailand.

Sumber: Berita Harian