Kenyataan Media

PELARIAN ROHINGYA BAKAL KE BHASAN CHAR

COX’S BAZAR, 21 Okt. – Ribuan pelarian etnik Islam Rohingya yang menghuni puluhan kem-kem di Bangladesh bersetuju berpindah ke sebuah pulau tidak berpenghuni di Teluk Bengal meskipun ia diancam banjir hampir setiap tahun.

Pesuruhjaya Pelarian Bangladesh, Mahbub Alam berkata, untuk tujuan itu beberapa pegawai akan ditempatkan di Bhasan Char dalam tempoh terdekat.

“Hampir seramai 6,000 hingga 7,000 pelarian menyatakan kesanggupan mereka untuk berpindah ke Bashar Chan dan angka itu dijangka bertambah,” tambah Alam.

Sebelum ini, Bangladesh dikatakan mahu memindahkan 100,000 daripada hampir satu juta etnik Islam Rohingya yang berada di beberapa kem penempatan sementara di Cox’s Bazar ke Bhasan Char.

Malah, beberapa projek pembangunan dipercayai sudah dilaksanakan di pulau Bhasan Char sejak dua tahun lalu.

Cadangan itu bagaimanapun mendapat tentangan kumpulan hak asasi manusia kerana pulau berkenaan tiada kemampuan untuk berdepan dengan keadaan ribut ketika musim monsun.

Pihak berkuasa Bangladesh kali pertama mencadangkan untuk menempatkan pelarian Rohingya di pulau itu pada 2015, iaitu ketika kem di Cox’s Bazar sarat dengan pelarian baharu.

Sumber: Sinar Harian