2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Kenyataan Media

10 MAUT AKIBAT SERANGAN RENTAS SEMPADAN PAKISTAN-INDIA DI KASHMIR

SRINAGAR, 21 Okt. – Pihak berkuasa menyatakan sekurang-kurangnya 10 terbunuh akibat tembakan meriam dilepaskan di sepanjang sempadan de facto India-Pakistan di Kashmir semalam, ketika kedua-dua negara saling tuduh-menuduh untuk cuba memporak-perandakan rantau bergolak itu.

Ketegangan memuncak antara jiran bersenjata nuklear itu selepas India melucutkan status autonomi Kashmir pada 5 Ogos lalu dan melaksanakan sekatan pergerakan dan komunikasi bagi membendung bantahan.

Pihak berkuasa dari kedua-dua negara menuduh tentera masing-masing melepaskan tembakan merentasi Garisan Kawalan (LoC).

Ketua tentera India, Jeneral Bipin Rawat memberitahu media di New Delhi, penyusupan merentasi sempadan berlaku berulang kali sejak 5 Ogos lalu.

Dua askar dan seorang orang awam terbunuh manakala tiga lagi cedera dalam ‘tembakan tanpa provokasi oleh Pakistan’ di daerah pergunungan Kupwara, kata jurucakap tentera awal semalam.

Katanya, beberapa rumah rosak dalam serangan itu dan tiga orang awam dirawat di hospital.

Islamabad sebaliknya menuduh tentera India menyasar orang awam dengan Kementerian Luar negara itu berkata, enam terbunuh sementara beberapa lagi termasuk wanita dan kanak-kanak cedera parah dalam kawasan berhampiran LoC.

Tentera menambah, seorang anggotanya maut, menjadikan angka korban di sebelah Kashmir ditadbir Pakistan kepada tujuh orang.

Serangan itu berlaku sebelum dua pilihan raya negeri utama India hari ini di mana hampir 100 juta orang boleh mengundi di utara Haryana dan barat negeri Maharashtra.

Sumber: Berita Harian