2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

LETUPAN BOM MALAM AIDILADHA DI IRAQ RAGUT 28 NYAWA, 66 CEDERA

BAGHDAD – Sekurang-kurangnya 28 terbunuh dan 66 yang lain cedera dalam letupan bom di sebuah pasar di timur Baghdad pada Isnin, kata Kementerian Dalam Negeri lapor Agensi Berita Xinhua.

Insiden menjelang sambutan Aidiladha itu berlaku di pasar yang menjadi tumpuan ramai terletak di Sadr City, menyebabkan beberapa kedai dan gerai musnah selain merosakkan bangunan berdekatan.

Berikutan itu Perdana Menteri Mustafa al-Kadhimi mengadakan mesyuarat tergempar bersama pihak keselamatan dan perisikan, memetik kenyataan pejabat akhbar perdana menteri.

Presiden Iraq Barham Salih menerusi akaun Twitternya menyifatkan kejadian berdarah yang berlaku pada malam Aidiladha itu ‘amat keji dan kejam’.

“Mereka langsung tidak boleh memberi sedikit ruang untuk orang ramai menikmati kegembiraan. Kami tidak akan berhenti dan berusaha untuk mencari dalang serangan itu,” kata Salih.

Pihak berkuasa Iraq dalam satu kenyataan ringkas berkata maklumat terperinci akan dikeluarkan memandangkan siasatan masih dijalankan. Setakat ini, belum ada pihak mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu.

Sumber: Sinar Harian