Kenyataan Media 19 April 2018
19 April 2018
Liga Arab Desak Siasatan bebas dan OPCW Mengesa Tindakan Bersama
Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (SERANTAU MUSLIM) melihat isu di Syria semakin mendapat perhatian ramai pihak berikutan tuduhan serangan kimia yang di lakukan oleh tentera Syria. SERANTAU MUSLIM melahirkan rasa syukur kerana Liga Arab dan Pertubuhan Larangan Senjata Kimia (OPCW) sudah mula bersuara dalam membantu mengatasi konflik di Syria.
Terbaru, media melaporkan sidang Kemuncak Liga Arab telah menggesa satu siasatan antarabangsa dijalankan ke atas jenayah penggunaan senjata kimia di Syria dan turut menekankan perlunya penyelesaian politik ke atas perang di Syria yang membabitkan pelbagai pihak.
Walau bagaimanapun, SERANTAU MUSLIM melihat perbezaan pandangan antara anggota Liga Arab walaupun pada dasarnya mereka mempunyai matlamat perjuangan sama iaitu membebaskan dunia Arab daripada penguasaan asing. Dalam isu ini, Arab Saudi dan sekutu-sekutunya menyatakan sokongan terhadap serangan peluru berpandu Amerika Syarikat, Britain dan Perancis yang telah menyasarkan tempat simpanan kemudahan senjata kimia di Syria, manakala Iraq dan Lubnan mengutuk serangan itu.
Semetelah itu, Pertubuhan Senjata Kimia Sedunia merakamkan lebih 390 insiden didakwa membabitkan penggunaan senjata kimia beracun di Syria semenjak 2014. SERANTAU MUSLIM menyokong penuh kenyataan Duta Britain, Peter Wilson yang menggesa negara anggota pertubuhan OPCW mengambil tindakan bersama bagi menangani masalah yang berlaku di Syria. Gesaan itu dilakukan agar membanteras kejadian sama berulang dan terus digunakan secara berleluasa di Syria dan lain-lain negara. Sementara itu, Rusia memberi jaminan untuk tidak campur tangan dalam misi OPCW bagi menyiasat insiden serangan senjata di Douma.
SERANTAU MUSLIM berharap segala usaha baik Liga Arab dan OPCW dalam membantu meleraikan konflik di Syria dapat menghapuskan penderitaan rakyat sekali gus mengurangkan angka korban di sana. Jika tidak, SERANTAU MUSLIM khuatir akan nasib warga emas, kaum wanita dan kanak-kanak di sana.
Pada masa yang sama, SERANTAU MUSLIM mencadangkan Liga Arab agar bukan sekadar bersidang, tetapi dapat meluluskan resolusi pengeluaran dana kebajikan bagi menampung pendidikan anak yatim, janda serta nasib ratusan ribu pelarian mangsa perang di Syria.
Sekali lagi, SERANTAU MUSLIM ingin menegaskan bahawa konflik yang menghantui rakyat Syria boleh diselesaikan dengan cara yang lebih baik seperti dialog dan rundingan. SERANTAU MUSLIM menyeru pihak dunia agar mengenepikan agenda peribadi demi memberi nafas baru buat rakyat Syria yang telah lama berasa tersepit antara kuasa kuasa besar dunia.
SERANTAU MUSLIM juga sentiasa bersedia berganding bahu dengan mana-mana pihak yang bertanggungjawab untuk membantu menyalurkan bantuan dan memenuhi keperluan asas rakyat Syria.
SERANTAU MUSLIM tidak putus berdoa untuk kesejahteraan rakyat Syria dan diharap seluruh umat Islam sentiasa bersatu agar kita dapat sama-sama membantu antara satu sama lain dalam pelbagai konflik yang dihadapi, bukan hanya isu di Syria, bahkan semua isu yang dihadapi umat Islam di seluruh dunia. Semoga umat Islam mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat dan bukannya seperti berada di neraka buatan manusia di dunia.
“Persaudaraan Rentas Sempadan”
Ustaz Mohd Hakim bin Mohd Nor
Pengurus Besar
Pertubuhan Kebajikan SERANTAU MUSLIM