Info SemasaKenyataan Media

Kenyataan Media 27 Jun 2018

 

Kenyataan Media SERANTAU MUSLIM
27 Jun 2018 | 45,000 Penduduk Syria Menjadi Gelandangan, Komuniti Dunia Digesa Bantu Mereka

Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (SERANTAU MUSLIM) melahirkan rasa bimbang dengan keadaan yang berlaku di Syria. Rakyat Syria berdepan dengan pertempuran antara puak pemberontak dan rejim Syria yang ingin mengusai wilayah berkenaan. Keadaan yang haru-biru itu menyebabkan penduduk Syria keluar dan lari dari tanah air mereka sendiri demi menyelamatkan diri dan ahli keluarga mereka daripada terkorban.

Menurut laporan media hari ini 27 Jun, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyatakan bahawa kira-kira 45,000 penduduk telah lari dari pertempuran di wilayah barat daya Syria di Deraa dan menuju ke arah yang bersempadan Jordan. Dalam masa yang sama, menurut Jens Laerke, Jurucakap Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA), ramai orang awam termasuk kanak-kanak dibunuh dan cedera manakala sebuah hospital tidak dapat beroperasi akibat serangan udara. Bettina Luescher yang merupakan Jurucakap Program Makanan Dunia PBB (WFP) turut memaklumkan bahawa penduduk Syria bakal hilang tempat tinggal hampir dua kali ganda ketika keganasan memuncak.

SERANTAU MUSLIM melihat keadaan ini akan lebih parah jika pertempuran antara kedua pihak tidak dihentikan segera dan nasib orang awam yang masih berada di wilayah berkenaan mungkin terancam.

SERANTAU MUSLIM juga menjangkakan keadaan ini akan menyebabkan penduduk Syria bakal melalui kehidupan seperti golongan gelandangan yang tidak memliliki rumah yang tetap untuk didiami. Jika mereka berada dalam golongan sebegini, kehidupan mereka akan begitu perit untuk dilalui kerana mereka akan berdepan dengan pelbagai lagi masalah seperti tiada pekerjaan yang tetap, sumber makanan yang terbatas dan keperluan asas yang lain mungkin tidak dapat dipenuhi.

Justeru, SERANTAU MUSLIM menyeru komuniti dunia semuanya agar bangkit bersama-sama membantu pelarian dari Syria ini dengan keperluan asas agar mereka dapat meneruskan kehidupan mereka dan jangan memandang enteng isu terhadap isu ini kerana ia merupakan isu hak asasi manusia sejagat yang perlu dibantu.

Pada masa yang sama, SERANTAU MUSLIM ingin menyeru orang ramai agar tidak mudah mempercayai propaganda barat yang menyatakan Islam adalah pengganas kerana Islam itu indah yang tidak menyukai kepada pembunuhan.
Firman Allah Taala dalam Surah Al-Isra’ ayat 81;
“Dan katakanlah :Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufurdan syirik) ; sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap”.

SERANTAU MUSLIM berharap penduduk Islam di seluruh dunia akan terus kuat dalam menghadapi segala rintangan dan tidak tunduk dengan ancaman musuh Islam dan terus berdoa untuk kesejahteraan rakyat Syria dan seluruh umat Islam.

 

“Persaudaraan Rentas Sempadan”.

Ustaz Mohd Hakim bin Mohd Nor
Pengurus Besar
Pertubuhan Kebajikan SERANTAU MUSLIM