Kenyataan Media 18 April 2018
18 April 2018
Susulan isu Damsyik Lancar Serangan Kimia: PBB Beri Tawaran Baharu
Sinar atau Bencana kepada Rakyat Syria
Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (SERANTAU MUSLIM) melihat isu di negara Syria semakin serius dan seperti tiada penghujungnya. Keadaan terbaru yang dapat dilihat ialah beberapa negara besar cuba menjadi wira dalam konflik ini. Mereka menganggap tindakan yang dilakukan mereka adalah benar dengan menggunakan serangan ketenteraan ke atas Syria. Namun, kesannya terpaksa ditanggung oleh rakyat Syria yang tidak berdosa.
Terbaru, menurut laporan media, Amerika Syarikat, Perancis dan Britain mengutarakan satu usul baharu di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Teks yang diperoleh di Agence France Presse (AFP) melaporkan ketiga-tiga sekutu itu mengedarkan satu draf resolusi bersama di Majlis Keselamatan PBB. Mereka turut mengesa bantuan kemanusian dihantar tanpa halangan, menguatkuasakan gencatan senjata dan meminta Syria terbabit dalam rundingan damai yang diketuai PBB.
Jika usul baharu ini benar-benar wujud, SERANTAU MUSLIM merasakan ia adalah wajar dilakukan kerana rakyat Syria berhak untuk terus hidup dan menikmati kehidupan dengan aman tanpa ada konflik negara luar di negara tersebut.
Disamping itu, SERANTAU MUSLIM bersetuju dan menyokong penuh dengan cadangan draf resolusi yang menyatakan satu siasatan bebas membabitkan tuduhan serangan kimia bagi tujuan mengenal pasti pelaku serangan itu akan ditubuhkan. SERANTAU MUSLIM percaya jika peluang ini diguna sebaiknya, matlamat sebenar dapat dicapai dan tindakan tegas perlu diambil terhadap penyerang yang menggunakan senjata kimia.
Walau bagaimanapun, sebelum ini SERANTAU MUSLIM melihat Rusia telah menggunakan kuasa veto sebanyak tiga kali untuk menghalang siasatan diketuai PBB terhadap tentera Syria.
SERANTAU MUSLIM yakin dan percaya tindakan ketenteraan tidak boleh menamatkan konflik di Syria, sebaliknya semua pihak perlu mencari penyelesaian secara politik,menerusi dialog dan rundingan. SERANTAU MUSLIM berharap isu di Syria ini ada penyelesaian dan sinar baru bukannya bencana buat rakyat Syria yang tidak berdosa.
SERANTAU MUSLIM suka mengingatkan rakyat global bahawa kini kita berada di bulan Syaaban dimana pada waktu ini merupakan bulan haram berperang. Justeru itu, sewajarnya seluruh pihak berkuasa dunia menghentikan segala bentuk peperangan yang wujud khususnya dalam melakukan persiapan menyambut Ramadhan yang tinggal tidak kurang dari sebulan, sekurang-kurangnya memberikan peluang kepada anak-anak kecil, kaum ibu dan warga tua untuk menyambut Ramadhan kali ini dengan penuh makna dan berbuka dengan juadah makanan dan bukannya dengan bedilan bom dan peluru semata.
SERANTAU MUSLIM juga berharap semua rakyat Islam seantero dunia sentiasa mendoakan rakyat Syria agar segala penderitaan yang dialami rakyat Syria akan berakhir dan tiada tindakan yang memburukkan lagi konflik sedia ada.
“Persaudaraan Rentas Sempadan”
Ustaz Mohd Hakim bin Mohd Nor
Pengurus Besar
Pertubuhan Kebajikan SERANTAU MUSLIM