2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Kenyataan Media

Kenyataan Media 17 April 2018

17 April 2018
AS, Britain dan Perancis bom Syria

Penduduk Global Mengecam Tindakan AS dan sekutunya

Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim melahirkan rasa marah dengan tindakan Amerika Syarikat, Britain dan Perancis kerana telah melancarkan serangan bersepadu ke atas Syria baru-baru ini. SERANTAU MUSLIM bimbang dengan nasib rakyat Syria ekoran serangan bertubi-tubi itu.

Menurut laporan media, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bersama Britain dan Perancis telah melancarkan serangan udara bersepadu ke atas Syria dengan alasan menghukum rejim itu kerana melakukan serangan senjata kimia pada minggu sebelumnya.

Trump juga memaklumkan bahawa serangan itu bertujuan mencegah penggunaan senjata kimia oleh pemerintah Syria. Hal ini disambut baik oleh Perdana Menteri Britain, Thresa May yang beranggapan tiada alternatif yang lebih praktikal daripada serangan bersepadu tersebut. Dalam kenyataan lain SERANTAU MUSLIM melihat rejim Syria menafikan tindakan serangan kimia minggu lalu di Douma, Timur Ghouta.

SERANTAU MUSLIM melihat AS dan sekutunya sengaja mencetuskan keadaan ini agar puak-puak Neokonservatif (Neocon) tidak bersuara lagi kerana sememangnya mereka inginkan penglibatan AS dalam konflik di Syria. Hal ini kerana Neocon (diwakili John McCain, Hillary Clinton dan sewaktunya) sudah lama ingin menggulingkan Assad.

Namun, AS turut mengambil langkah berjaga-jaga agar isu ini tidak membawa kepada ketegangan kepada sekutu Syria iaitu Rusia yang akhirnya bakal memberi kesan kepada kestabilan serantau dan antarabangsa.

SERANTAU MUSLIM melahirkan rasa kecewa dengan tindakan negara-negara ini kerana mereka bertindak sedemikian kerana agenda mengimbangi kuasa masing-masing. SERANTAU MUSLIM berharap negara-negara berkuasa ini tidak seperti ‘enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’ kerana tidak mengambilkira isu kemanusiaan di rantau bergolak itu.

SERANTAU MUSLIM ingin menggesa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dapat mengemaskini solusi supaya konflik ini akan segera berakhir. Diharap rundingan baik dapat diadakan bagi mengelak serangan terus berlaku disamping menyeru semua muslimin dan muslimat dapat terus berdoa untuk kebaikan rakyat Syria.

“Persaudaraan Rentas Sempadan”

Dr. Raja Ahmad Iskandar Ahmad Yaakob
Pengerusi
Pertubuhan Kebajikan SERANTAU MUSLIM