2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
WhatsApp Image 2023-02-02 at 12.15.00 PM
Info Semasa

Kanada lulus usul terima 10,000 pelarian Uyghur

OTTAWA: Kanada sebulat suara meluluskan usul untuk menerima 10,000 pelarian Uyghur yang melarikan diri dari China yang kini berdepan tekanan supaya kembali ke negara asal melalui sidang Parlimennya baru-baru ini.

Keputusan itu dibuat selepas langkah mula diambil ahli Parlimen Kanada sejak Februari 2021 bagi melabelkan layanan Beijing terhadap Uyghur dan Muslim Turki yang lain di wilayah Barat Laut Xinjiang sebagai pembunuhan beramai-ramai, lapor satu akhbar tempatan, Berita Harian.

Usul itu mencadangkan supaya penempatan semula 10,000 Uyghur di Kanada dilaksanakan dalam tempoh dua tahun, bermula 2024.

Dalam laporan sama, menurut ahli Parlimen yang tidak memegang jawatan dalam kerajaan, Sameer Zuberi, sekurang-kurangnya 1,600 sudah ditahan di negara lain atas arahan China atau dihantar pulang secara paksa.

Sameer yang membawa usul berkenaan, berkata, Perdana Menteri, Justin Trudeau dan Kabinetnya yang mengundi bagi menyokong usul itu, jelas menandakan niat kerajaan untuk menjayakan usaha terbabit walaupun ia tidak terikat.

“Ia isyarat yang jelas bahawa kami menolak pencabulan hak manusia terhadap orang Uyghur.

“Apa yang berlaku kepada orang Uyghur jelas tidak boleh diterima,” katanya pada sidang media, di sini.

Kumpulan hak asasi manusia percaya sekurang-kurangnya sejuta orang Uyghur dan minoriti Islam lain kebanyakannya dipenjarakan di kem tahanan di rantau itu.

China juga dituduh memandulkan wanita secara paksa selain dikerahkan bekerja.

Susulan itu, puluhan ribu kaum berkenaan bertindak melarikan diri.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Projek Advokasi Hak Uyghur, Mehmet Tohti, berkata, kelulusan usul itu membawa mesej bukan sahaja di China dan Kanada, namun juga kepada seluruh dunia.

Melalui usul itu, ia menjelaskan orang Uyghur yang melarikan diri ke negara ketiga menghadapi tekanan dan ugutan oleh China untuk kembali ke negara asal mereka.

Beijing turut menggunakan tekanan diplomatik dan ekonomi ke atas negara luar untuk menahan dan menghantar pulang golongan itu, sekali gus membiarkan mereka tanpa tempat berlindung.

China mempertahankan kewujudan kem Uyghurnya di Xinjiang, dengan mengatakan ia penting untuk memerangi keganasan dan menyediakan latihan vokasional kepada golongan minoriti itu.

Amerika Syarikat (AS) bagaimanapun menyatakan penindasan China terhadap Uyghur adalah sama dengan tindakan pembunuhan beramai-ramai dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengutuk pencabulan hak kemanusiaan negara itu terhadap Uyghur dan Muslim Turki yang lain.

Presiden Kongres Uyghur Sedunia, Dolkun Isa, pula berkata, kaum itu diserang dari aspek bahasa, budaya, agama, sejarah dan identiti etnik.