WhatsApp Image 2022-12-08 at 10.30.06 AM
Info Semasa

Israel robohkan lintasan Karni di Gaza, perluaskan sekatan

GAZA: Israel memutuskan untuk memanjangkan tembok pemisah di timur bandar Gaza dengan merobohkan lintasan komersial menggunakan jengkaut dan kren, yang sebelum ini dijadikan terminal kargo tetapi sudah lama tidak beroperasi.

Lintasan komersil Karni pernah menjadi terminal import-eksport terbesar dan utama wilayah Palestin, dengan dilengkapi pengimbas dan sistem tali sawat penyampai untuk memudahkan pemindahan serta pergerakan barangan.

Bagaimanapun, Israel menutupnya apabila ia mengenakan sekatan ke atas Gaza berikutan pengambilalihan kumpulan pejuang Hamas pada 2007.

Bagi tempoh tiga tahun akan datang, lintasan Karni beroperasi secara berselang-seli untuk penghantaran terhad keperluan asas kemanusiaan di Gaza.

Israel pada akhirnya berhenti menggunakan terminal itu dan mengalihkan kerja ke persimpangan Kerem Shalom yang lebih kecil dan terhad di tenggara Semenanjung Gaza.

Kerem Shalom tidak mempunyai keupayaan canggih seperti Karni dan bergantung kepada pergerakan barang secara bergilir, di mana trak Israel memunggah penghantaran mereka dan pergi sebelum trak Palestin masuk untuk mengambil barang.

Pada Ahad lalu, tentera Israel berkata ia memulakan operasi untuk memindahkan Karni bagi menyiapkan pembinaan penghadang bawah tanah.

“Ini adalah operasi yang direka untuk meningkatkan pertahanan di kawasan ini, yang berlaku sebagai sebahagian daripada peningkatan pertahanan di seluruh kawasan sempadan dengan Semenanjung Gaza,” katanya.

Tahun lalu, Israel mengumumkan proses menyiapkan tembok pemisah dipertingkat di sekitar Semenanjung Gaza bagi mengelak pejuang Palestin daripada menyelinap ke negara itu.

Tembok pemisah sepanjang 65 kilometer dilengkapi sistem radar, pengesan maritim dan rangkaian pengesan bawah tanah untuk mengesan terowong pejuang Palestin, dibina di sekeliling Gaza.

Pagar sedia ada digantikan dengan pagar pintar setinggi enam meter dengan pengesan dan kamera pengawasan.

Sumber: BH