2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
e2a69e22-e0a6-40d8-afc1-b7c9395c0ca0.jpg
Info Semasa

Israel mengaku askarnya mungkin tembak wartawan Al Jazeera

BAITULMAQDIS: Tentera Israel mengakui buat pertama kali hari ini bahawa kemungkinan wartawan Palestin-Amerika, Shireen Abu Akleh ditembak mati oleh seorang askar Israel yang menganggapnya sebagai militan.

“Ada kemungkinan besar Shireen Abu Akleh terkena tembakan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) secara tidak sengaja yang dilepaskan ke arah suspek yang dikenal pasti sebagai lelaki bersenjata Palestin,” kata laporan akhir tentera berhubung kematian mangsa pada 11 Mei lalu.

Pengakuan itu dibuat selepas beberapa bulan, di mana tentera menegaskan adalah mustahil untuk menentukan punca tembakan maut yang membunuh wartawan Al Jazeera terkenal di Tebing Barat yang diduduki, mengatakan ia mungkin tembakan militan.

“Kesimpulan kami ialah tidak mungkin untuk menentukan dengan jelas tembakan mana yang membunuhnya, tetapi ada kemungkinan lebih tinggi bahawa dia terkena tembakan salah seorang askar IDF yang tidak mengenal pasti dia sebagai wartawan,” kata seorang pegawai kanan tentera Israel.

Abu Akleh, 51, wartawan Al Jazeera kelahiran Baitulmaqdis, terbunuh akibat terkena peluru hidup di kepala pada 11 Mei ketika bertugas melaporkan pencerobohan tentera Israel di kem pelarian Jenin di utara Tebing Barat.

Tragedi itu menerima kecaman hebat antarabangsa.

Menteri Luar Palestin, Riyad al-Maliki, bertemu Pendakwa Raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa, Karim Khan di The Hague untuk menyerahkan hasil siasatan mengenai kematian Abu Akleh.

Sumber: BH