2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
WhatsApp Image 2024-02-29 at 12.43.30 PM (4)
Uncategorized @ms

Israel, Hamas teruskan rundingan damai dengan harapan tinggi

Israel, Hamas dan negara pengantara, Qatar menaruh harapan tinggi terhadap rundingan gencatan senjata selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, berkata ia boleh dicapai dalam tempoh kurang seminggu, menjelang ketibaan Ramadan.

Menerusi Berita Harian, Hamas sedang menimbang cadangan yang dipersetujui oleh Israel pada rundingan dengan pengantara di Paris minggu lalu, untuk gencatan senjata kali kedua selama 40 hari, sejak perang bermula lima bulan lalu.

Menurut sumber yang rapat dengan rundingan gencatan senjata itu, cadangan di Paris menyaksikan Hamas akan membebaskan kira-kira 40 tebusan, sebagai balasan kepada pembebasan kira-kira 400 tahanan Palestin oleh Israel, lapor Berita Harian.

Turut dijanjikan, peningkatan kemasukan bantuan kemanusiaan untuk Gaza termasuk membina penempatan penduduk dan tentera Israel berundur dari kawasan penduduk.

Namun, perjanjian kelihatannya tidak dapat memenuhi permintaan utama Hamas supaya perang dihentikan sama sekali dan pengunduran kekal tentera serta peneroka haram Israel.

Dalam kenyataan disiarkan di NBC ‘Late Night with Seth Meyers’, Biden berkata Israel bersetuju untuk menghentikan pertempuran di Gaza sepanjang Ramadan, yang dijangka bermula pada 10 Mac.

Pada Isnin, Biden berharap perjanjian gencatan senjata itu dapat bermula pada 4 Mac.

Di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, pasukan misi bantuan memberitahu Majlis Keselamatan PBB (UNSC) bahawa satu perempat daripada penduduk Gaza berisiko kebuluran.

“Israel mesti membenarkan lebih banyak lagi kemasukan bantuan,” kata Timbalan Duta PBB untuk AS, Robert Wood.

Dalam temu bual dengan akhbar Guardian, seorang pakar yang dilantik PBB mengenai hak makanan, Michael Fakhri, menuduh Israel sengaja menafikan hak orang awam mendapatkan makanan di Gaza, yang ternyata jelas ia satu bentuk jenayah perang.

Timbalan Duta Besar Israel untuk PBB, Jonathan Miller pula memberitahu majlis itu negaranya komited untuk memperbaiki keadaan kemanusiaan di Gaza, dengan kuantiti dan kadar bantuan dihantar bergantung kemampuan PBB dan agensi lain.

“Israel jelas dalam dasar-dasarnya. Tiada had langsung, dan saya ulangi, tiada had jumlah bantuan kemanusiaan yang boleh dihantar kepada penduduk awam Gaza,” katanya.

Sebelum ini, jurucakap kerajaan Israel, Tal Heinrich berkata, sebarang perjanjian untuk gencatan senjata di Gaza masih memerlukan Hamas untuk menggugurkan beberapa tuntutannya.

“Kami bersedia, tetapi persoalannya, sama ada Hamas bersedia,” katanya.

Qatar, yang bertindak sebagai negara pengantara utama, berkata tiada kejayaan dicapai setakat ini, namun yakin akan ada berita baik dalam minggu ini.

“Kami tidak mempunyai perjanjian muktamad mengenai mana-mana isu yang menghalang persetujuan. Kami tetap berharap boleh mencapai beberapa bentuk persetujuan,” kata jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed Al Ansari.

Dua pegawai kanan Hamas memberitahu, kenyataan Biden kelihatan terlalu awal, memandangkan masih terdapat jurang besar yang perlu dipersetujui. 

Namun, laporan terbaru dari Berita Harian 29 Feb menyatakan Pihak Berkuasa Kesihatan di Gaza melaporkan berlaku bedilan Israel ke atas orang yang menunggu bantuan berhampiran Bandar Gaza mengakibatkan 104 rakyat Palestin terbunuh serta mencederakan 280 yang lain.

Dalam pada itu, sebuah hospital menyatakan pihaknya menerima 10 mayat dan berpuluh-puluh pesakit yang cedera.

Sama-sama kita doakan agar kekejaman Israel berakhir dan orang Islam terus dilindungi serta dijauhi dari azab kezaliman pada penjajah tanahair mereka. Aamiin.