2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

HARI ANTARABANGSA MENANGANI KEGANASAN TERHADAP WANITA

Angka statistik keganasan terhadap wanita semakin meningkat dan ini melibatkan keganasan yang berlaku dalam pelbagai sektor dengan pelbagai sebab. Keganasan sama sekali tidak boleh diterima dilakukan kepada sesiapapun, apatah lagi keganasan yang dilakukan terhadap wanita.

Hari ini tanggal 25hb November telah ditetapkan sebagai Hari Antarabangsa bagi penghapusan keganasan terhadap wanita sejak tahun 1999. Justeru, hari ini harus menjadi hari yang penting untuk sama-sama kita saling mengingatkan dan bertindak untuk menghalang keganasan terhadap wanita dari terus berlaku.

Kami dari Serantau Muslim komited untuk memastikan agar keganasan terhadap wanita ini tidak berlaku dengan penekanan sejak awal kepada beberapa aspek berikut :

i) Akses kepada golongan wanita rentan yang terdiri daripada golongan B40, tiada pendidikan, OKU, dan sebagainya mesti ditingkatkan untuk memastikan golongan ini tidak terus menjadi mangsa kepada keganasan. Golongan ini adalah golongan yang sukar untuk bangun dan melaporkan keganasan yang mereka hadapi, justeru kita mesti prihatin dan sentiasa mendekati golongan ini.

ii) Memberi penekanan kepada keganasan yang berlaku terhadap wanita di kem-kem pelarian, pemegang kad UNCHR dan juga etnik minoriti yang berada di negara kita ini. 

iii) Menggerakkan kesedaran dan kempen advokasi agar kita menjadi masyarakat yang pro-aktif dalam menangani keganasan terhadap wanita. Kita mesti menjadi masyarakat yang peka dan cakna dan bertindak melaporkan sebarang keganasan yang berlaku. Tiada istilah ‘diam’ kepada keganasan.

Wanita adalah anugerah kepada dunia ini. Tanpa wanita, tiadalah kita semua. Wanita mesti dihormati, disayangi dan dilindungi dari keganasan.

Selamat Menangani Keganasan Terhadap Wanita.

SERANTAU MUSLIM
25 November 2020