Info SemasaKenyataan Media

GUNUNG BERAPI TAAL TIDAK LAGI ANCAM PENDUDUK

MANILA – Menurut pihak berkuasa, letupan besar dari gunung berapi Taal tidak lagi mendatangkan ancaman, namun pada masa sama masih mengingatkan penduduk sentiasa berjaga-jaga. Pihak berkuasa juga menarik semula perintah berpindah ke atas penduduk

Tanda amaran seperti gempa bumi tidak lagi kelihatan sejak Taal meletus dua minggu lalu sehingga memaksa perpindahan sekurang-kurangnya 15,000 penduduk ke pusat perlindungan sementara.

Agensi seismologi negara berkata, debu dan pengeluaran gas yang semakin berkurangan adalah antara tanda yang menunjukkan gunung berkenaan tidak lagi berada dalam keadaan berbahaya.

Ia menyaksikan penarikan semula perintah berpindah oleh kerajaan tempatan di pekan mengelilingi gunung berapi terbabit, yang juga lokasi tarikan pelancong kerana kedudukannya di tengah tasik.

“Penduduk di kawasan pekan yang diarah berpindah sebelum ini kecuali Agoncillo dan Laurel kini berpeluang kembali ke kediaman masing-masing.

“Bagaimanapun terdapat kemungkinan ia akan meletus dan kita sepatutnya bersedia untuk berpindah dalam tempoh sejam,” kata gabenor kawasan, Hermilando Mandanas dalam satu sidang akhbar.

Taal menghambur debu panas setinggi 15 kilometer (km) ke udara dan memuntahkan lahar pada letupan 12 Januari lalu, yang memusnahkan ratusan kediaman serta meragut nyawa haiwan ternakan dan tanaman.

Taal terletak 60 km dari ibu negara, Manila dan antara gunung berapi paling aktif di negara itu.

Pada 1965, letupan Taal meragut hampir 200 nyawa.

Sumber: Berita Harian