2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

PELAN DAMAI YANG MENYEBELAHI ISRAEL DITOLAK PALESTIN

RAMALLAH, 29 Jan – Pemimpin Palestin menolak cadangan damai Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semalam yang dianggap tidak boleh diterima kerana menyebelahi Israel yang jelas bertentangan dengan aspirasi rakyatnya.

Presiden Palestin, Mahmud Abbas, berkata inisiatif yang dilancarkan Washington itu tidak akan berjaya.

“Rundingan berunsurkan konspirasi ini akan gagal. Rakyat Palestin sekadar melihatnya satu cadangan ‘sampah’ dalam sejarah.

“Jika Jerusalem tidak menjadi ibu kota Palestin, bagaimana kami mampu menerima cadangan AS ini?,” katanya selepas menghadiri mesyuarat yang dihadiri oleh sekutu Palestin termasuk kumpulan Hamas yang berjanji untuk menolak cadangan damai berkenaan.

Antara cadangan Trump termasuk pengiktirafan Jerusalem sebagai ibu kota Israel.

Sementara itu, bagi rakyat Palestin berusia 23 tahun, Firas Ladadwa, beliau menganggap mereka yang menerima cadangan itu sebagai pembelot.

“Tidak ada rakyat Palestin atau orang Arab yang menerima Jerusalem menjadi milik Israel,” katanya.

Trump bagaimanapun mendakwa, cadangan damai berkenaan akan memberikan impak positif kepada ekonomi Palestin dan membawa berbilion keuntungan pelaburan bagi negara Islam itu.