2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

BANJIR DI BEAUFORT, PENDUDUK BERDEPAN MASALAH BEKALAN AIR BERSIH

BEAUFORT: Banjir yang melanda di daerah ini menyebabkan penduduk menghadapi masalah mendapatkan bekalan air bersih, di samping turut berdepan kesukaran untuk mendapatkan bekalan air mineral pada dua hari lepas.

Disebabkan masalah itu, penduduk di kawasan terbabit kini terdesak dan memohon sumbangan bekalan air mineral daripada pihak berwajib dan orang ramai.

Penduduk di Kampung Tebok, Roslinah Jusidi, 39, berkata rumahnya berdepan masalah tiada bekalan air paip sejak sehari sebelum sambutan Aidilfitri lalu dan memerlukan air mineral yang mencukupi untuk kegunaan keluarganya.

“Di kawasan saya saja, bekalan air mineral sudah habis terjual kerana hanya ada tiga kedai runcit yang menjualnya.

“Terdapat juga kedai di kampung bersebelahan, tetapi masalahnya penduduk di sini tidak dapat ke sana kerana jalan raya yang masih dinaiki air banjir,” katanya ketika ditemui.

Penduduk Kampung Mantau, Sharayal Malih, 34, berkata sejak banjir melanda, sudah hampir 10 hari rumahnya tiada bekalan air bersih dan kini terpaksa mendapatkan bekalan air mineral.

“Setakat ini, saya berjaya memperoleh tiga kotak air mineral, namun kebanyakannya habis dibeli dan ada juga air mineral dijual dengan harga yang mahal.

“Jadi, kami terpaksa berjimat dan menggunakan air mineral untuk kegunaan penting saja, termasuk memasak. Satu kotak air mineral hanya boleh bertahan selama dua hari dan kami berharap ada pihak yang sudi menyalurkan bantuan air mineral,” katanya.

Penduduk Kampung Melati, Abdul Malik Abdul Ghani, 31, pula berkata sudah empat hari kampungnya tidak mendapat bekalan air bersih dan stok air mineral di kawasannya juga semakin berkurangan.

Sehingga semalam, daerah Beaufort mencatatkan seramai 603 mangsa banjir yang ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) membabitkan 75 kampung, selain Tenom yang mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 4,633 orang membabitkan 1,269 keluarga di 34 PPS.

Sumber: Berita Harian 26 Mei 2021