2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Screenshot 2024-03-14 143751
Uncategorized

Akhbar Perancis dikecam hina penduduk Gaza berpuasa

Sebuah akhbar harian Perancis, Liberation mendapat kecaman teruk daripada netizen apabila menerbitkan kartun satira yang mempersendakan rakyat Palestin yang di ambang kebuluran ketika konflik Hamas-Israel memasuki bulan Ramadan.

Kartun yang dilukis Corinnr Rey menggambarkan seorang lelaki Palestin yang kurus kering mengejar tikus dan lipas di tengah-tengah runtuhan bangunan yang ranap, lapor Sinar Harian memetik laporan Middle East Eye.

Manakala seorang wanita menampar tangan lelaki itu dan menegurnya dengan menyatakan ‘Tidak sebelum matahari terbenam’ yang membawa maksud waktu berbuka puasa.

Kartun itu dikongsi dalam platform X pada Isnin, dengan kapsyen ‘Ramadan di Gaza’, merujuk bulan suci umat Islam berpuasa pada bulan tersebut.

Bagaimanapun, pengguna media sosial menyelar ilustrasi itu sebagai rasis, tidak berperikemanusiaan dan memualkan ketika ratusan ribu penduduk Palestin berdepan kebuluran akibat bantuan makanan disekat Israel.

“Contoh utama bagaimana media barat dan Perancis secara tidak berperikemanusiaan tidak menghiraukan pembunuhan beramai-ramai dan pembersihan etnik rakyat Palestin di Genting Gaza,” kata seorang pengguna media sosial.

Seorang lagi pengkritik kartun itu menulis bahawa akhbar berhaluan kiri itu sedang menyindir kebuluran paling cepat dan dahsyat serta disengajakan dengan mengejek penduduk Gaza sedang kelaparan di bawah pengeboman Israel disokong Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan United Kingdom.

Ketika ini Israel memutuskan semua bekalan bahan api, makanan, air dan bantuan ke Gaza pada 9 Oktober lalu.

Pengeboman tanpa henti terhadap kedai roti, pasar raya, farmasi, hospital di kawasan dikepung telah membawa kepada keruntuhan sektor perubatan sehingga memaksa orang ramai mencari sisa makanan demi kelangsungan hidup.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan beberapa agensi bantuan telah berulang kali memberi amaran bahawa Gaza berada di ambang kebuluran sambil menggesa Israel membenarkan bantuan segera masuk ke Palestin.

Dalam pada itu, Rey menerusi X mempertahankan karyanya dan menegaskan lukisannya bertujuan menjelaskan semangat putus asa yang dialami penduduk Palestin sambil ‘mengecam kebuluran di Gaza’