1SR@EL TAHAN PULUHAN PELAJAR PALESTIN
RAMALLAH: Tentera 1sr@el hari ini menahan kira-kira 20 hingga 30 pelajar Palestin di wilayah diduduki di Tebing Barat atas dakwaan terbabit dalam keganasan di bawah naungan kumpulan Hamas.
Sumber daripada warga Palestin memberitahu AFP, puluhan pelajar dari Universiti Bierzeit ditahan ketika mereka kembali dari kampung Turmus Ayya dengan menaiki bas.
Pada awal bulan lalu, tentera Israel merobohkan rumah seorang penduduk Palestin yang tinggal di kampung itu dan difahamkan sedang menunggu perbicaraan atas tuduhan menembak seorang pelajar Yahudi di Tebing Barat awal tahun ini.
“Sebahagian yang ditangkap terbabit secara langsung dalam keganasan, termasuk pemindahan wang, perbuatan menghasut dan terbabit dalam kegiatan Hamas di Judea dan Samaria,” kata tentera Israel dalam satu kenyataan.
Satu lagi kenyataan yang dikeluarkan semalam bagi mengesahkan penahanan itu, berkata ‘puluhan operasi pengganas’ milik ‘sel pelajar’ dilakukan oleh pelajar Universiti Bierzeit yang ditahan.
Mereka ditahan dalam operasi bersama membabitkan tentera, polis dan agensi keselamatan domestik Shin Bet.
Dalam pada itu, jurucakap tentera memberitahu AFP hari ini, pelajar yang terbabit adalah sekitar 20 hingga 30 orang dan Shin Bet sedang menjalankan siasatan lanjut.
Universiti Birzeit, dalam satu kenyataan, menyuarakan keprihatinan terhadap nasib pelajarnya selain turut mengecam penahanan itu sebagai ‘pelanggaran semua undang-undang dan amalan antarabangsa yang menjamin hak pergerakan pelajar’.
“Pihak universiti menggesa komuniti antarabangsa untuk segera campur tangan bagi memastikan pembebasan kesemua pelajar,” katanya.
Sementara itu, menurut sumber warga Palestin yang enggan dikenali, beberapa pelajar itu dijangka dibebaskan dalam masa terdekat, bagaimanapun sebahagiannya akan ditahan untuk tempoh lebih lama.
Hamas yang menguasai Semenanjung Gaza dan bertempur dalam perang dengan 1sr@el pada Mei lalu, disenarai hitam sebagai pertubuhan pengganas oleh Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS).
Sumber: Berita Harian