2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
WhatsApp Image 2022-12-27 at 10.34.00 PM
Info Semasa

Dunia alami kepupusan haiwan, tumbuhan besar-besaran menjelang 2100

LONDON: Satu kajian mendakwa bumi bakal menghadapi kepupusan besar-besaran menjelang 2100 sehingga berupaya menghapuskan lebih satu perempat biodiversiti dunia.

Lapor Daily Mail, sekumpulan saintis dari Australia dan Eropah membangunkan `bumi maya’ untuk menyenaraikan kepupusan global akibat perubahan iklim dengan lebih baik.

Hasil kajian menunjukkan kepupusan sebanyak 10 peratus membabitkan semua spesies tumbuhan dan haiwan menjelang 2050.

Jumlah itu bakal meningkat kepada 27 peratus menjelang akhir abad ini.

Menurut saintis, pengeksploitasian sumber secara berlebihan, perubahan guna tanah, penuaian berlebihan, pencemaran, perubahan iklim dan `pencerobohan biologi’ antara punca menyebabkan kepupusan itu berlaku.

Kajian itu diketuai oleh saintis dari Suruhanjaya Eropah, Giovanni Strona dan profesor dari Flinders University, Adelaide, Corey Bradshaw.

Ahli akademik itu memaklumkan bumi kini menghadapi fasa keenam kepupusan secara besar-besaran disebabkan oleh aktiviti manusia dan perubahan iklim.

Berdasarkan senarai merah Kesatuan Antarabangsa Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN), lebih 42,100 spesies diancam kepupusan.

“Kanak-kanak dilahirkan hari ini yang hidup sehingga usia 70 tahun boleh menyaksikan sendiri kepupusan ribuan spesies tumbuhan dan haiwan.

“Spesies itu merangkumi daripada orkid dan serangga kecil sehingga haiwan ikonik seperti gajah dan koala,” kata Bradshaw.

Dengan menggunakan `superkomputer’, para saintis mencipta dunia yang mengandungi lebih 15,000 `jaringan makanan’ untuk meramalkan nasib spesies yang saling berkaitan.

Jelas saintis, pendekatan itu `mampu memetakan kepupusan di mana sahaja di bumi’ dan meramalkan masa depan untuk biodiversiti global.

Malah, pendekatan yang digunakan itu juga berupaya mengesahkan tanpa sebarang keraguan bahawa dunia sedang menghadapi fasa keenam kepupusan secara besar-besaran.

Sumber: Utusan