2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Kenyataan Media

BAYI MAUT AKIBAT JEREBU DI INDONESIA, PULUHAN RIBU JATUH SAKIT

 

JAKARTA/PALEMBANG, 18 Sept. – Kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan yang menyelubungi wilayah itu dengan jerebu selama beberapa minggu dan menjejaskan kesihatan puluhan ribu penduduk di rantau berhampiran serta negara jiran, meragut nyawa seorang bayi empat bulan yang dilaporkan maut akibat pneumonia dan meningitis.

Bayi dikenali Elsa Fitaloka itu dilaporkan menerima rawatan di hospital sebelum keadaannya semakin teruk dan meninggal dunia hujung minggu lalu.

“Partikel jerebu boleh menjadi medium menyebarkan bakteria yang menyebabkan jangkitan,” kata Pengarah Hospital Ar-Rasyid di Sumatera Selatan, Toni Siguntang dipetik The Jakarta Post.

Kementerian Kesihatan Indonesia merekodkan, 106,550 pesakit dirawat di Palembang, Sumatera Selatan; 61,147 di Jambi; 23,324 di Palangkaraya, Kalimantan Tengah dan 9,512 di Pekanbaru, Riau mengalami jangkitan pernafasan akut (ISPA) disebabkan jerebu susulan kebakaran hutan.

Sementara itu, kira-kira 100 penerbangan dibatalkan syarikat penerbangan utama seperti Garuda Indonesia dan anak syarikatnya, Citilink serta Kumpulan Lion Air, Lion Air, Wings Air dan Batik Air, oleh kerana jarak penglihatan di Kalimantan bertambah buruk.

“Sehingga Sabtu lalu, jarak penglihatan terhad kepada hanya 500 meter sementara jarak penglihatan dianggap selamat untuk mendarat ialah 3,500 meter,” kata Ketua Lapangan Terbang Kalimantan di Berau, Kalimantan Timur, Bambang Hartanto.

Secara berasingan, Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo yang bercakap mengenai krisis jerebu malam semalam berkata, beliau mengarahkan operasi pembenihan awan diperhebat dan semua pihak berkepentingan perlu bekerja sama menangani masalah itu.

Walaupun kesan kebakaran hutan bertambah buruk, Indonesia masih bertegas masalah itu dapat dikawal dan enggan menerima bantuan ditawarkan Malaysia.

Malaysia sendiri menjalankan pembenihan awan bagi mengurangkan kesan jerebu yang menyelubungi rantau itu.

Jabatan Meteorologi Malaysia dilaporkan berbuat demikian di sekurang-kurangnya lima bandar di Sarawak yang bersebelahan wilayah Kalimantan Barat, di mana lebih 11,000 tompok panas direkodkan.

“Indonesia masih dapat menangani masalah. Kerajaan pusat ketika ini bekerja sama dengan pentadbiran tempatan, serta perniagaan untuk memadam kebakaran,” kata jurucakap Agensi Pencegahan Bencana Indonesia (BNPB), Agus Wibowo semalam.

Katanya, sekurang-kurangnya 9,072 kakitangan agensi dan pasukan keselamatan dikerah ke rantau terjejas kebakaran di Riau, Jambi, Sumatera Selatan, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan bagi mengesan dan memadam kebakaran.

Sejumlah 44 helikopter pengebom air juga dihantar. Secara berasingan, satu pakatan pertubuhan masyarakat awam, Pantau Gambut yang kembali daripada menjalankan tinjauan lapangan di Riau mendedahkan, jumlah tompok panas di rantau itu meningkat tiga kali ganda kepada 3,932 dari Julai hingga Ogos tahun ini berbanding 1,862 direkodkan pada 2015.

 

Sumber: Berita Harian