2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Kenyataan Media

BANGLADESH SEKAT AKSES TELEFON BIMBIT DI KEM PELARIAN ROHINGYA

DHAKA, 4 Sept – Baru-baru ini, pegawai di Bangladesh mengarahkan pengendali telefon untuk mematikan perkhidmatan telefon bimbit kepada hampir sejuta pelarian Rohingya di kem di tenggara negara itu.

 

Langkah itu diambil susulan penularan keganasan sejak beberapa minggu ini di kem berkenaan, kebanyakan penghuninya melarikan diri ke Bangladesh dari Rakhine dua tahun lalu berikutan kekejaman dilakukan tentera Myanmar ke atas etnik minoriti itu.

 

Ia juga susulan ketiadaan seorang pun pelarian yang muncul lewat Ogos lalu untuk kembali ke Rakhine, apabila desakan baru supaya pelarian dihantar pulang ke Myanmar gagal.

 

Pengendali telekomunikasi mempunyai tujuh hari untuk menyerahkan laporan ke atas tindakan yang diambil mereka untuk menutup rangkaian di kem, kata jurucakap Suruhanjaya Penyeliaan Telekomunikasi Bangladesh (BTRC), Zakir Hossain Khan.

 

“Ramai pelarian menggunakan telefon bimbit di kem. Kami meminta penyedia talian mengambil tindakan untuk menghentikannya,” kata beliau, menambah keputusan itu diambil atas alasan keselamatan.

 

Walau bagaimanapun, Arahan itu mengejutkan pelarian Rohingya kerana ia memberi kesan besar kepada kehidupan minoriti berkenaan, mengganggu komunikasi antara kem berbeza yang berselerak di seluruh Cox’s Bazar.

 

“Kami tidak boleh lagi berkomunikasi dengan saudara di Myanmar atau tempat lain di dunia,” kata seorang pelarian Rohingya.

 

Bangladesh pernah cuba mengehadkan akses telefon bimbit di kem.

 

Namun ia tidak dilaksanakan secara serius, menggalakkan pasaran set telefon bimbit dan kad SIM di kem.

 

Jurucakap polis, Ikbal Hossain, menyambut baik keputusan berkenaan, berkata pelarian menyalah guna telefon bimbit untuk melakukan aktiviti jenayah seperti menyeludup pil methamphetamine bernilai ratusan juta dolar dari Myanmar.

 

Sumber: Berita harian