2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
WhatsApp Image 2022-12-14 at 3.49.58 PM
Info Semasa

Bali dilanda gempa bumi, tiada kemalangan jiwa

DENPASAR: Gempa bumi skala sederhana kuat dan dua gegaran susulan melanda pulau peranginan Bali, Indonesia hari ini, menyebabkan penduduk panik tetapi tiada kemalangan jiwa atau kemusnahan harta benda dilaporkan setakat ini.

Badan Pemantau Geologikal Amerika Syarikat (USGS) berkata gempa berukuran 4.9 pada skala Richter berpusat sekitar 35 kilometer (km) ke utara Amlapura, sebuah bandar di daerah Karangasem, Bali.

Kedalaman gempa yang agak cetek iaitu 9.6km, menyebabkan orang ramai lari meninggalkan kediaman masing-masing.

Ramai penduduk dan pelancong meninggalkan rumah serta hotel penginapan masing-masing menuju ke kawasan lebih tinggi tetapi keadaan reda selepas mereka menerima pesanan teks mengatakan tiada ancaman tsunami.

Indonesia, gugusan kepulauan dengan 270 juta penduduk, sering dilanda gempa bumi, letusan gunung berapi dan tsunami kerana kedudukannya dalam ‘Lingkaran Api’ atau lingkungan gunung berapi dan garis sesar yang mengelilingi Pasifik.

Gempa bumi berukuran sama di kawasan berbukit Karangasem tahun lalu mengakibatkan tanah runtuh yang menimbus laluan ke sekurang-kurangnya tiga kampung dan menyebabkan tiga terkorban.

Gempa bumi magnitud 5.6 pada 21 November lalu menyebabkan sekurang-kurangnya 331 mangsa terbunuh dan hampir 600 yang lain cedera di Cianjur, Jawa Barat iaitu gegaran paling teruk sejak gempa bumi terburuk Indonesia pada 2018 yang mengakibat tsunami, menyebabkan sekitar 4,340 mangsa terbunuh di Sulawesi.

Sumber: BH