2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
75305829-cb53-4252-8f9c-0d63d94005ba.jpg
Info Semasa

Australia tarik keputusan iktiraf Baitulmaqdis Barat ibu negara Israel

CANBERRA: Kerajaan Australia semalam telah menarik semula keputusannya pada Disember 2018 yang mengiktiraf Baitulmaqdis Barat sebagai ibu negara Israel.

Menteri Luar Australia, Penny Wong, berkata status bandar tersebut harus dihuraikan menerusi rundingan damai antara Israel (di penempatan Baitulmaqdis Barat) dan Palestin (di bahagian timur Baitulmaqdis), lapor Reuters.

“Australia ‘akan sentiasa menjadi rakan setia Israel’ dan komited kepada huraian dua negara, yang mana Israel dan Palestin perlu hidup bersama dengan aman dalam sempadan yang diiktiraf antarabangsa.

“Kerajaan Australia mengesahkan semula komitmen negaranya kepada usaha antarabangsa untuk mencapai kemajuan yang adil dan bertahan lama ke arah huraian dua negara,” menurut beliau dalam satu kenyataan.

Sementara itu, laporan akhbar Guardian mendedahkan bahawa Jabatan Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan Australia (DFAT) memadamkan dua ayat daripada laman webnya dalam beberapa hari lalu yang mengisytiharkan langkah itu, menunjukkan keputusan untuk membatalkan pengiktirafan terdahulu secara senyap-senyap, lapor Middle East Monitor.

Sebelum ini, keputusan awal untuk mengiktiraf Baitulmaqdis Barat sebagai ibu negara Israel dibuat oleh bekas Perdana Menteri Australia, Scott Morrison pada tahun 2018 – setahun selepas Amerika Syarikat dan bekas Presidennya, Donald Trump mula-mula mengumumkan tentang pengiktirafan tersebut dan menyeru negara lain mengikut langkah AS untuk berbuat demikian.

Kerajaan Buruh Australia yang dipilih pada musim panas tahun ini bagaimanapun memberi jaminan bahawa ia akan menterbalikkan langkah yang telah dibuat Morrison di tengah-tengah dasar lain beliau, tetapi ia dilaporkan tidak diambil tindakan sehinggalah The Guardian meminta DFAT untuk mendapatkan maklumat mengenai isu itu.

Menurut jurucakap DFAT, yang dipetik oleh akhbar itu, kerajaan Australia menganggap status Baitulmaqdis sebagai ‘perkara yang perlu diselesaikan sebagai sebahagian daripada sebarang rundingan damai’.

Sementara itu, Al Jazeera melaporkan bahawa pentadbiran Presiden baharu AS, Joe Biden pula berkata ia tidak bercadang untuk membatalkan langkah yang telah dibuat Trump yang telah memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitumaqdis Barat pada Mei 2018, susulan pengumuman mengiktirafnya sebagai ibu negara Israel pada 2017.

Keputusan AS itu merupakan satu tamparan besar bagi aspirasi Palestin selepas sekian lama berusaha untuk membebaskan negara itu daripada belenggu penjajahan Israel, yang menimbulkan kemarahan negara-negara Islam di seluruh dunia.

Status Baitulmaqdis adalah salah satu halangan terbesar dalam pelbagai percubaan untuk mencapai perjanjian damai antara Israel dan Palestin.

Israel menawan bahagian timur Baitulmaqdis pada 1967 dan menggabungkannya dengan Baitulmaqdis Barat pada 1980 dalam tindakan jahat yang melanggar undang-undang antarabangsa.

Pihak berkuasa Palestin berharap untuk menjadikan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota negara Palestin masa depan, namun Israel telah berulang kali menegaskan bandar itu perlu kekal sebagai ibu kota Israel.

Sumber: HD