2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Aktiviti SMInfo SemasaKenyataan MediaKLUSTER

Aidiladha tahun ini beri makna yang besar kepada kami

ZAMBOANGA, FILIPINA: Perayaan Aidiladha pada tahun ini memberi makna yang cukup besar kepada umat Islam di Zamboanga, tidak seperti tahun-tahun kebiasaannya.

Kemeriahan suasana jelas kelihatan dan kegembiraan terpancar di wajah mereka apabila dapat bersama-sama merasai suasana Aidiladha dengan perlaksanaan ibadah korban seperti mana yang disambut oleh umat Islam di tempat lain.

Umat Islam di wilayah Zamboanga itu melahirkan keterujaan apabila Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) melalui QurbanMudah.com memilih kawasan mereka untuk melaksanakan ibadah korban pada tahun ini.

Menurut seorang penduduk, Jamaica Iddin, 24, beliau tidak pernah merasai kemeriahan menyambut Hari Raya Aidiladha seperti tahun ini.

Katanya, saban tahun Aidiladha seolah tidak mempunyai sebarang makna kepada beliau dan perayaan itu berlalu pergi sama seperti hari-hari biasa.

“Saya tidak pernah merasai kemeriahan Aidiladha seperti tahun ini, kali ini saya dan masyarakat kampung dapat sama-sama bergotong-royong melaksanakan ibadah korban.

“Terima kasih Serantau Muslim dan seluruh rakyat Malaysia kerana memberi makna yang cukup besar kepada kami disini,” katanya dengan nada sebak.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Projek QurbanMudah.com, Nurfarahin Ahmad Osman berkata, seramai kira-kira 4000 buah keluarga telah menerima sumbangan daging korban di wilayah tersebut yang mana 48 ekor lembu telah dikorban.

Kata beliau, pengagihan daging korban itu disempurnakan sendiri oleh Seratau Muslim bersama komuniti setempat bagi memastikan para penerimanya adalah dari golongan yang berkelayakan.

Ia termasuklah 680 buah keluarga rumah buluh di perkampungan Barangan Kasayangan Zamboanga yang hidup dalam keadaan yang sungguh menghibakan.

“Kami melihat sendiri kehidupan umat Islam disini yang rata-rata berada dalam keadaan yang sungguh dhaif.

“Terujanya mereka apabila menerima kehadiran kami ketika turun ke rumah mereka menghantar daging korban,” jelasnya.

Program yang dianjurkan dengan kerjasama Badan Bukan Kerajaan (NGO) setempat iaitu World Assembly of Muslim Youth (Wamy), Youth Dakwah For Peace dan Ashababu Nurul Islam itu telah mengambil masa dua hari iaitu 21 dan 22 Ogos lalu untuk menyempurnakan perlaksanaan korban sebelum ia diagihkan secara menyeluruh.