2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

4,500 KELUARGA BANGLADESH DITEMPATKAN DI KOMPLEKS PERLINDUNGAN CUACA

COX’S BAZAR – Bangladesh membuka sebuah kompleks merangkumi 20 blok perumahan bagi menempatkan mangsa bencana alam akibat kenaikan paras laut dan ribut taufan yang semakin kerap.

Bangladesh selaku negara miskin berpenduduk padat sememangnya teruk terjejas akibat perubahan iklim dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa bersatu (PBB) menyifatkannya sebagai antara negara paling berisiko akibat pemanasan global.

Bangunan pangsapuri yang dibuka semalam di Cox’s Bazar di tenggara Bangladesh mampu menempatkan kira-kira 650 keluarga dan lebih banyak bangunan sedang dibina.

Jobaida Begum, yang kehilangan ibu dan neneknya ketika ribut taufan pada 1991 mengorbankan 138,000 orang, adalah antara individu pertama menerima kunci kediaman baharu itu.

“Rumah kami di pulau Kutubdia musnah ketika ribut taufan dan kami berlindung di kawasan setinggan dekat pesisir pantai di luar lapangan terbang Cox’s Bazar tetapi bila air pasang, kawasan setinggan ini tenggelam,” katanya.

Kawasan setinggan itu, dengan sekitar 40,000 penghuni, menjadi penempatan terbesar bagi golongan yang dikenali sebagai ‘pelarian cuaca’ di Bangladesh.

Kebanyakan penduduknya adalah dari Teluk Benggala terutama pulau Kutubdia, yang mana hampir 40 peratus daripadanya kini ditenggelami air.

Seorang lagi penduduk, Jillul Karim, 40, turut mendapat rumah baharu semalam selepas sekian lama menjadi setinggan.

“Laut ‘menelan’ semua harta milik keluarga di Kutubdia… kami hidup di kawasan setinggan yang sentiasa lembap ini selama 25 tahun,” katanya.