2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Kenyataan Media

40,000 PEMISAH LETAK SENJATA DI FILIPINA, PETANDA POSITIF di FILIPINA

COTABATO CITY, 3 Sept – Hampir enam bulan penubuhannya, Wilayah Autonomi Bangsamoro di Mindanao (BARMM) diketuai Murad Ebrahim, terus menunjukkan petanda positif membawa keamanan sebenar ke selatan Filipina.

 

Dengan proses peletakan senjata 40,000 anggota Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dan Pasukan Bersenjata Islam Bangsamoro (BIAF) dijalankan minggu ini, Murad berkata pemimpin kumpulan bersenjata lain di rantau berkenaan mempertimbangkan untuk berbuat demikian untuk menjalani kehidupan normal.

 

BIAF adalah sayap tentera MILF, antara kumpulan pemisah terbesar di Filipina, yang juga dipimpin Murad.

 

Dalam temubual di pejabatnya, Murad berkata beberapa cawangan Pejuang Pembebasan Islam Bangsamoro (BIFF) dan kumpulan militan Abu Sayyaf mempertimbangkan untuk kembali mematuhi undang-undang.

 

Pada 2014, BIFF dan Abu Sayyaf, adalah pertubuhan pemisah paling ganas di Mindanao, melafazkan taat setia kepada Daesh.

 

“Di pihak kami, kami terus berusaha rapat dengan kumpulan ini, meyakinkan mereka supaya memberikan peluang kepada BARMM dan menyertai kami dalam membangunkan tanah air.

 

“Pada awalnya, mereka menunjukkan mereka berminat dan itu perkembangan baik,” kata Murad.

 

Murad berkata, ada penurunan dalam keganasan di wilayah itu berdasarkan pemantauan sendiri.

 

Kejadian ganas terakhir adalah pengeboman pos pemerintah tentera di Sulu Jun lalu, yang mengorbankan lapan orang dan 22 lagi cedera.

 

Terdahulu, penasihat keamanan presiden, Carlito Galvez, berkata jika kumpulan bersenjata lain melihat hasil proses peletakan senjata itu, beliau percaya ia akan menggalakkan mereka turut berbuat demikian.

 

 

Sumber: Berita Harian